JAKARTA – Sekurang-kurangnya lima maut manakala 41 lagi masih hilang selepas sebuah feri terbakar ketika dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur menuju ke Makassar, Sulawesi Selatan pada Ahad.
Agensi Mencari dan Menyelamat Surabaya memaklumkan, seramai 225 penumpang berjaya diselamatkan setakat petang Ahad, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang belum ditemui.
Iklan
Iklan
Agensi itu turut memaklumkan, empat lagi kapal berada dalam keadaan bersedia berhampiran lokasi insiden, namun tidak dapat menghampiri feri itu berikutan risiko yang berpunca daripada bahan mudah terbakar di atas kapal.
"Kapten feri sempat menghubungi syarikat pengendali bagi memaklumkan kejadian kebakaran ketika kapal tersebut sedang belayar.
"Bagaimanapun, kapten feri berkenaan gagal dihubungi semula selepas laporan itu dibuat," katanya.
Pegawai kanan Kementerian Pengangkutan Indonesia, Muhammad Masyhud berkata, operasi menyelamat berskala besar sedang digerakkan dari Surabaya ke lokasi kejadian, dengan perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira enam jam.
“Berdasarkan laporan awal dari lokasi kejadian, para penumpang sedang menunggu untuk dipindahkan oleh kapal-kapal yang berada berhampiran kawasan insiden,” jelasnya. – AFP