JOHOR BAHRU – Pemandu e-hailing yang tular selepas mempertahankan agama Islam ketika berdepan seorang penumpang mendakwa akaun Grab miliknya tidak dikenakan sebarang tindakan selepas beliau berhubung dengan syarikat itu.
Menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad, beliau berkata pihak Grab memaklumkan akaunnya tidak disiasat dan kekal aktif kerana insiden berkenaan dikategorikan sebagai tindakan mempertahankan diri, bukannya melibatkan pelanggaran Kod Etika (Code of Conduct) berkaitan gangguan.
"Alhamdulillah, dalam kes saya ini tidak diambil apa-apa tindakan dan akaun saya juga tidak disiasat kerana kes ini lebih kepada melindungi diri sendiri, bukan lebih kepada Code of Conduct (Harassment)," katanya dalam media sosial beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membantu menyebarkan video kejadian sehingga mendapat perhatian Grab Malaysia.
"Terima kasih kepada semua yang membantu viralkan kes ini sehingga Grab mengambil maklum. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan kalian," katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan masih belum dapat kembali memandu buat sementara waktu kerana telefon bimbitnya masih berada dalam simpanan polis bagi tujuan analisis forensik.
"Cumanya buat masa sekarang saya tidak boleh membuat Grab kerana telefon saya berada di pihak polis untuk forensik," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak memboikot Grab kerana bimbang tindakan sedemikian akan menjejaskan pendapatan pemandu e-hailing lain yang bergantung kepada platform tersebut sebagai sumber rezeki.
"Korang boleh terus sokong Grab. Jangan boikot demi periuk nasi saudara seagama kita juga yang bekerja dengan Grab," katanya.
Sebelum ini, Grab Malaysia mengesahkan akaun pemandu berkenaan kekal aktif dan tidak dikenakan sebarang tindakan kerana beliau tidak berada di bawah siasatan ketika syarikat itu meneliti insiden tersebut.
Insiden itu tercetus selepas tular rakaman video memaparkan seorang penumpang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina al-Quran dan agama Islam ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing di Johor Bahru.
Polis sebelum ini mengesahkan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.