Tragedi RXZ Members: Menteri Kesihatan gesa penganjur jadikan advokasi keselamatan agenda wajib

Iklan
Dzulkefly

SHAH ALAM - Penganjur konvoi motosikal berskala besar, termasuk RXZ Members digesa menjadikan pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya sebagai agenda wajib setiap penganjuran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu penting bagi mengelakkan tragedi kehilangan nyawa akibat memandu laju daripada terus berulang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap kali aktiviti menghimpunkan peminat permotoran menyaksikan peningkatan kes kemalangan jalan raya di jabatan kecemasan hospital seluruh negara, termasuk yang meragut nyawa.

“Kepada pihak penganjur program konvoi mega sebegini, saya menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim yang dianjurkan kalian.

Iklan

“Penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan setiap peserta terjamin," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Konvoi ke RXZ Members 8.0 berakhir tragedi, seorang penunggang motosikal maut

Iklan

Lagi peserta RXZ Members 8.0 maut di LPT1

Lelaki Singapura ditahan tunggang RXZ secara berbahaya di LPT2

Tak sempat sampai, dua motosikal terbakar dalam perjalanan ke program RXZ Members

Lagi peserta RXZ Members 8.0 maut rempuh pacuan empat roda berhenti bantu rakan konvoi

Media pada 31 Julai melaporkan, tiga penunggang motosikal maut dan dua parah dalam empat kemalangan berasingan di tiga daerah di Pahang ketika berkonvoi untuk menghadiri Program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu.

Terbaharu, pada Sabtu, seorang lagi pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 354, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Dungun, Terengganu pada Sabtu ketika dalam perjalanan pulang daripada program sama.

Penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, acara permotoran pada tahun ini menyaksikan angka penyertaan yang semakin meningkat dengan rekod lebih 200,000 peserta.

Jumlah direkodkan itu sekali gus menjadikan edisi kali ini paling mendapat sambutan sejak ia mula dianjurkan pada 2017.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, nahas jalan raya kini merupakan antara cabaran kesihatan awam paling serius di negara ini dan menjadi penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan (MoT), secara purata seramai 18 individu maut setiap hari akibat kemalangan jalan raya.

"Lebih membimbangkan, sebanyak 59 peratus daripada jumlah kematian tersebut melibatkan golongan penunggang motosikal," katanya.

Beliau dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan kecemasan dan trauma di semua hospital Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan jalan raya.

Dzulkefly juga menggesa masyarakat supaya mengubah mentaliti ketika berada di jalan raya dengan mengutamakan keselamatan berbanding kelajuan.

Beliau memperkenalkan slogan baharu, 'Yang Santai, Pasti Sampai', sebagai mesej untuk membudayakan tunggangan berhemah, mematuhi had laju dan menyokong sasaran kemalangan sifar.

"Segala fasiliti dan sumber perubatan di hospital boleh diganti, namun nyawa yang hilang pasti tiada galang gantinya. Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan sebelum memulas pendikit jentera dan ingatlah wajah insan tersayang yang menanti kepulangan anda di rumah," katanya.