KOTA BHARU - Polis Kelantan meminta pihak berkuasa Thailand memberi nama suspek yang terlibat dalam insiden serangan bersenjata ke atas lima anggota renjer Thailand di sebuah pos kawalan keselamatan di wilayah bergolak Narathiwat baru-baru ini yang didakwa lari ke Malaysia.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sehingga kini tiada sebarang bukti yang mengaitkan perkara tersebut diberikan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
Menurut beliau, anggota pasukan cawangan khas di seluruh daerah serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sentiasa memantau perkembangan keselamatan di kawasan sempadan, namun tidak mengesan sebarang pergerakan suspek seperti didakwa.
Sebelum itu beliau hadir pada Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Tunjong di sini.
Hadir sama ialah Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, lima anggota renjer Thailand terbunuh manakala dua orang awam, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, cedera dalam serangan bersenjata di sebuah pos kawalan keselamatan di wilayah bergolak Narathiwat pada Rabu.
Menurut laporan awal, serangan berlaku kira-kira jam 7 malam waktu tempatan di pos kawalan Buketa Sami, daerah Tanyong Mat, Ra-ngae yang dikendalikan Kompeni Renjer 4509.
Enam lelaki berpakaian serba hitam dipercayai tiba di lokasi dengan menaiki sebuah pikap Nissan empat pintu berwarna hitam sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi dan membaling beberapa bom paip ke arah anggota yang sedang bertugas.
Lima anggota renjer yang berada di pos kawalan itu disahkan maut di lokasi kejadian.
Dua orang awam turut cedera dalam serangan tersebut, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.