Senarai Exco Negeri Sembilan akan dibincang dengan Presiden UMNO, selesai selewat-lewatnya Jumaat - MB

Iklan
Ismail menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media pertama beliau selepas selesai upacara mengangkat sumpah jawatan di Istana Besar Seri Menanti pada Ahad. Foto Bernama

KUALA PILAH - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Presiden UMNO sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika menghadap baginda selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar pada Ahad.

Iklan
Iklan

"Saya telah memaklumkan kepada Tuanku bahawa saya akan berbincang dahulu dengan Presiden UMNO, tengok pandangan beliau, mungkin ada cadangan-cadangan bersesuaian untuk dipertimbangkan.

"Kita akan cuba selesaikan selewat-lewatnya Jumaat. Kalau sempatlah... Insya-ALLAH. Kalau ikut Tuanku, baginda lagi suka diselesaikan dalam waktu terdekat," katanya pada sidang media pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada Ahad.

Iklan

Mengulas mengenai penyertaan wakil Perikatan Nasional (PN) dalam barisan Exco, beliau berkata, pembentukan kerajaan negeri dibuat secara bersama, justeru semua parti akan diberikan perhatian.

Katanya, ia termasuklah daripada rakan komponen BN yang memenangi pilihan raya itu.

Iklan

"Kita menubuhkan kerajaan bersama dan pastinya kita mengambil kira Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili PN dan ADUN yang mewakili Barisan Nasional (BN).

"BN bukan sahaja terdiri daripada UMNO, tetapi juga parti komponen MCA dan MIC. Semua ini akan kita berikan perhatian dalam pembentukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.

Ditanya sama ada jumlah Exco akan dikecilkan atau terdapat portfolio yang akan digugurkan, beliau berkata, perkara itu masih belum difikirkan, begitu juga jawatan Exco Kanan.

Namun beliau berpendapat, jumlah Exco seramai 10 orang dilihat sebagai saiz yang paling sesuai.