Pendakwah meninggal dunia ketika sampaikan ceramah mengenai kematian

Iklan
Ahmad Firdaus - Foto: Jp Metropolitan.

JAKARTA – Suasana hiba menyelubungi sebuah majlis agama di Kampung Sumur, Klender, Duren Sawit, Jakarta Timur apabila seorang pendakwah meninggal dunia pada malam Khamis lalu secara mengejut ketika sedang menyampaikan tazkirah kepada para jemaah.

Menurut laporan media tempatan, pendakwah berkenaan dikenali sebagai Ahmad Firdaus H Rohili, 53.

Iklan
Iklan

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan Allahyarham sedang menyampaikan ceramah bertemakan kematian di hadapan jemaah.

Ketika sedang memuji dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, Allahyarham tiba-tiba terhenti daripada bercakap sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Iklan

Orang ramai yang berada di lokasi segera memberikan bantuan dan mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, usaha menyelamatkan nyawanya tidak berjaya dan beliau disahkan meninggal dunia.

Iklan

Kejadian menyayat hati itu mengundang sebak dalam kalangan jemaah yang menghadiri majlis berkenaan selain mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Punca kematian Allahyarham bagaimanapun tidak dinyatakan dalam laporan awal.

Pemergian Allahyarham ketika sedang berdakwah mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan ramai mendoakan agar beliau dikurniakan 'husnul khatimah'.

Lebih menyentuh hati, ramai individu yang mengenali Allahyarham berkongsi pengalaman serta menyifatkan beliau sebagai seorang pendakwah yang merendah diri, penyayang dan banyak berjasa kepada masyarakat.

Seorang individu yang mengaku anak saudara Allahyarham berkata, arwah mempunyai kebiasaan meminta setiap ceramahnya dirakam bagi membolehkan beliau menilai semula penyampaian dakwahnya.

"Saya bersaksi beliau seorang yang baik. Sejak kecil saya membesar bersama beliau. Memang setiap kali berceramah beliau akan minta dirakam supaya boleh ditonton semula sebagai bahan penambahbaikan," tulisnya.

Seorang lagi individu turut berkongsi bahawa Allahyarham amat mengambil berat kebajikan anak-anak yatim dan sering menganjurkan program kebajikan.

"Beliau seorang yang baik. Sejak kecil saya sering diajak menyertai program menyantuni anak yatim bersama beliau. Beliau sangat menyayangi anak-anak yatim," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial turut mengimbas detik terakhir Allahyarham yang sempat menyebut dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebelum menghembuskan nafas terakhir. - Agensi