SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu, selain menegaskan tiada mana-mana individu atau pihak tertentu dipersalahkan atas keputusan tersebut.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kepimpinan gabungan itu menerima keputusan berkenaan dengan terbuka dan akan memikul tanggungjawab secara bersama.
“Sebagai pemimpin PH, kita semua pasti mengambil tanggungjawab secara kolektif. Ini bukan masanya untuk menuding jari kepada mana-mana individu, kumpulan atau kem tertentu.
“Kita akan bertanggungjawab bermula dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat akar umbi organisasi,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Gerakan Operasi (Command Centre) PH di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN kali ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, petugas media, sukarelawan, jentera PH dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar.
Mengulas keputusan pilihan raya, Amirudin berkata, berdasarkan pengiraan PH, gabungan itu dijangka memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun keputusan tersebut masih menunggu pengesahan rasmi daripada SPR.
“Berdasarkan pertimbangan pengiraan kita, calon-calon PH mendahului 11 kerusi namun kita tetap menunggu pengumuman rasmi SPR," katanya.