SHAH ALAM - Kejayaan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi pencetus kepada gelombang perubahan yang lebih besar dalam usaha memulihkan negara.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan itu merupakan isyarat jelas bahawa rakyat menerima usaha penyatuan ummah yang berteraskan keadilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk.
Iklan
Iklan
"Pas menginsafi besarnya tanggungjawab dan kepercayaan ini. Keutamaan adalah untuk mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua.
"Saya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PN dan Barisan Nasional (BN), para calon, petugas serta jentera parti yang telah bekerja dalam satu saf bagi memastikan kejayaan PN-BN pada hari ini.
"Semoga ALLAH SWT memberikan petunjuk dan kekuatan kepada kita untuk menunaikan amanah rakyat dengan sebaik-baiknya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Gabungan PN dan Barisan Nasional (BN) secara tidak rasmi berjaya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 11 malam, kedua-dua gabungan itu berjaya membentuk kerajaan apabila memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).