[TIDAK RASMI] PRN Negeri Sembilan: Formula kerjasama BN-PN menjadi, gelombang biru akan menular ke Melaka

Iklan
Ahmad Zahid (empat dari kanan) berkata, pihaknya akan memastikan setiap aku janji di dalam manifesto yang ditawarkan akan dilunaskan demi kepentingan rakyat.

SEREMBAN - Formula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke -16 ternyata menjadi apabila gabungan itu diumumkan secara tidak rasmi memenangi di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tidak rasmi tersebut menunjukkan BN memperoleh 18 kerusi manakala PN memperoleh tujuh kerusi.

Iklan
Iklan

"Ini bermakna BN-PN telah melepasi majoriti 2/3 di DUN dan keputusan tidak rasmi itu berdasarkan kiraan undi yang selesai di semua saluran di kerusi berkenaan.

"Namun masih tertakluk kepada pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka jam 10 malam ini," katanya dalam sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, mewakili kepimpinan BN-PN, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang telah keluar menunaikan tanggungjawab serta memberikan kejayaan kepada kami untuk menerajui semula pentadbiran Negeri Sembilan.

Justeru itu katanya, persefahaman yang telah terjalin antara mereka dalam PRN Negeri Sembilan akan diterjemahkan melalui pembentukan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan berpaksikan mandat rakyat.

Iklan

"Kami akan mengadakan perbincangan susulan kedua-dua parti gabungan ini berkaitan dengan memuktamadkan pembentukan kerajaan negeri yang baharu atas perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mereka menerima keputusan itu dengan penuh rendah diri dan rasa tanggungjawab.

Katanya, kepercayaan rakyat bukanlah alasan untuk bermegah, akur dan sombong sebaliknya mesti dibalas dengan kerja keras.

"Pentadbiran yang berwibawa serta khidmat yang terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, penghargaan yang tidak terhingga turut kami rakamkan kepada pengundi-pengundi yang memberi sokongan kepada BN-PN.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih pada rakan-rakan daripada seluruh negara, terutamanya para calon yang telah bersengkang mata bekerja keras untuk calon-calon yang menang," katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa gabungan itu sedar bahawa mandat tersebut datang bersama dengan tanggungjawab besar untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil, berwibawa dan benar-benar bekerja demi menyelesaikan permasalahan rakyat serta mempertingkatkan kemakmuran negeri.

Tambah Ahmad Zahid, pihaknya akan memastikan setiap aku janji di dalam manifesto tersebut akan dilunaskan demi kepentingan rakyat.

"InsyaALLAH keputusan ini akan turut membawa satu gelombang bagi kami meneruskan gelombang biru pula yang telah bermula di negeri Johor, akan menular ke Melaka.

"Alhamdulillah sokongan daripada rakyat pelbagai kaum latar belakang, masyarakat termasuk warga keselamatan telah membawa mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan dan kami percaya inilah makna sebenar perpaduan yang dirindui oleh rakyat.

Beliau sekali kali turut menegaskan bahawa kejayaan yang diraih jangan menjadikan leka dan angkuh, serta hanya akan terus berkumbang sekiranya membalas keyakinan rakyat dengan prestasi hasil dan perubahan yang benar-benar dapat dirasai.