SEREMBAN - Keterujaan seorang pemuda mengundi buat kali pertama terbantut apabila dia diberitahu tidak boleh mengundi sebaik tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang di sini pada Sabtu.
Afif Hakimi Razali, 20, yang merupakan penuntut Politeknik Port Dickson berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa namanya telah ditanda sebagai selesai mengundi.
"Saya tiba di pusat mengundi pada jam 12 tengah hari dan sebaik sahaja menunjukkan kad pengenalan, saya diberitahu nama saya telah dipotong.
"Saya terkejut kerana saya belum lagi mengundi. Saya cuba mendapatkan penjelasan daripada petugas di situ, tetapi mereka tidak dapat memberikan penjelasan lanjut dan meminta saya pulang sahaja," katanya ditemui Sinar Harian bersama bekas gurunya, Zulkifli Muhamed di Senawang di sini pada Sabtu.
Menurutnya, petugas terbabit turut memintanya membuat laporan polis sekiranya tidak berpuas hati.
Afif Hakimi berkata, dia kemudian menghubungi ibu dan bekas gurunya untuk mendapatkan pandangan sebelum bersedia berkongsi perkara itu dengan media.
"Saya sedih kerana tidak dapat mengundi buat kali pertama. Saya memang bersemangat dan sudah menunggu saat ini sejak seminggu lalu.
Anak sulung itu berkata, dia hadir bersendirian ke pusat mengundi kerana ibu bapa serta adik lelakinya mengundi di pusat mengundi lain.
Ujarnya, dia tidak menyangka pengalaman pertama sebagai pengundi berakhir dengan kekecewaan apabila tidak dapat menunaikan haknya sebagai rakyat Malaysia.
"Saya akan membuat laporan mengenai perkara ini kerana mahu menegakkan kebenaran.
"Saya tidak akan biarkan perkara ini begitu sahaja kerana saya rasa hak saya sebagai pengundi telah dinafikan dan berharap perkara seperti ini tidak akan berulang kepada orang lain," katanya.
Sementara itu, Zulkifli meluahkan rasa kesal dengan kejadian itu selain turut mempersoalkan peranan petugas SPR yang dilihat seolah-olah cuba lepas tangan.
"Dia datang dengan kad pengenalannya dan belum pun mengundi. Sepatutnya petugas membantunya selain berikan kenyataan lebih jelas.
"Saya bimbang jika perkara seperti ini dibiarkan akan memberi kesan kepada dia selepas ini yang mungkin akan hilang kepercayaan kepada sistem SPR," katanya.