Cubaan seludup 24,000 benih sawit ke Thailand berjaya dipatahkan

Iklan
Cubaan menyeludup sebanyak 24,000 biji benih kelapa sawit bernilai RM100,000 ke Thailand melalui pangkalan haram di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang berjaya dipatahkan PGA pada Sabtu. Foto: PGA

RANTAU PANJANG – Cubaan menyeludup sebanyak 24,000 biji benih kelapa sawit bernilai RM100,000 ke Thailand melalui pangkalan haram di Kampung Lubok Gong di sini, berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 pagi itu, PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang sedang memandu sebuah Proton Iswara Aerobek dalam keadaan mencurigakan berhampiran pangkalan haram Tebu.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Strike Force Kompeni A, Batalion 7 PGA Kuantan yang menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan menahan kenderaan berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan beberapa kotak putih yang mengandungi 24,000 biji benih kelapa sawit yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Iklan

"Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan benih sawit yang dibawanya sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut.

"Turut dirampas sebuah Proton Iswara Aerobek yang digunakan untuk membawa muatan tersebut," katanya pada Sabtu.

Iklan

PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang sedang sebuah Proton Iswara Aerobek dalam keadaan mencurigakan berhampiran pangkalan haram Tebu. Foto: PGA

Ujar beliau, nilai rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dianggarkan RM100,000, dengan benih kelapa sawit dianggarkan bernilai RM96,000 manakala kenderaan bernilai RM4,000.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar yang diupah sebanyak RM150 bagi membawa benih sawit itu kepada seorang individu di Thailand.

"Siasatan turut mendapati suspek diarahkan mengambil benih tersebut daripada seorang individu di Stesen Bas Rantau Panjang sebelum membawanya keluar melalui pangkalan haram Tebu di Lubok Gong," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.

Katanya, semua barang rampasan telah diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Kelantan untuk tindakan lanjut.