Berhenti berlumba di jalan raya sebelum nahas menimpa, titah Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan mereka yang terlibat supaya berhenti daripada aktiviti berlumba haram di jalan raya sebelum nahas berlaku.

Baginda bertitah, setiap individu perlu selalu mengingati keluarga yang sentiasa menanti kepulangan mereka dengan selamat dan tidak menjadikan jalan raya sebagai medan untuk menguji keberanian.

Iklan
Iklan

"Beta amat berdukacita melihat masih wujud segelintir anak muda memilih jalan raya sebagai pentas mencari kemasyhuran, menjadikan deruman enjin sebagai lambang keberanian dan menganggap perlumbaan haram sebagai kebanggaan.

"Lebih mendukacitakan apabila budaya tidak bermoral ini diraikan di media sosial. Aksi berbahaya dipertontonkan untuk meraih pujian dan perhatian sedangkan hakikatnya, tepukan diterima hari ini sering kali berakhir dengan tangisan ibu bapa, penyesalan yang tiada penghujung dan pusara yang sunyi,” titah baginda.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Yang turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Iklan

Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda memandang serius isu lambakan warga asing termasuk pelarian Rohingya dan menitahkan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan drastik dengan meruntuhkan struktur bangunan, khususnya di tanah kerajaan jika terdapat penempatan haram oleh golongan itu.

Baginda juga menyeru Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh kawalan sempadan negara, memperketat proses kemasukan warga asing, mempercepat penghantaran pulang pendatang tanpa izin serta mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat.

"Malah, pada hemat beta, langkah yang paling berkesan ialah membendung isu ini dari pintu masuk negara, khususnya di perairan negara sebelum mereka berjaya bertapak dan membentuk penempatan.

"Mencegah di sempadan jauh lebih berkesan daripada merawat apabila keadaan telah menjadi rumit,” titah baginda. - Bernama