JELEBU - Warga emas berusia 92 tahun antara yang terawal keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di sini, Sabtu.
Daud Johan dan isterinya, Besar Md Sahat, 86, hadir kira-kira 9.50 pagi ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaaan Teriang Hilir, Simpang Durian dengan ditemani beberapa orang anak dan cucunya yang turut mengundi di sekolah itu.
Pesara Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (sebelum ini Jabatan Ukur) itu berkongsi rasa teruja dan bersyukur kerana masih berpeluang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun pada usianya sekarang.
"Alhamdulillah, saya bersyukurlah. ALLAH panjangkan umur, dapatlah saya dan isteri keluar mengundi pada hari ini. Saya dan isteri memang sejak dulu mengundi apabila ada pilihan raya, itu tanggungjawab kita sebagai rakyat, kepada anak cucu pun saya pesan perkara yang sama.
"Sekarang nak berjalan jauh dah tak kuat macam dulu dan perlu guna tongkat, tetapi alhamdulillah, anak-anak dan cucu ada yang balik, merekalah yang bawa kami mengundi hari ni. Walaupun ramai anak yang bekerja di Kuala Lumpur, mereka masih kekal mengundi di sini, seronok sangatlah apabila mereka pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui Bernama selepas selesai mengundi.
Pasangan itu yang masing-masing berasal dari Ramuan China Kechil dan Paya Rumput, Melaka, sebelum ini pernah merantau ke beberapa negeri seperti Kelantan dan Kedah kerana tuntutan tugas sebelum akhirnya memilih menetap di Negeri Sembilan pada 1963.
Sementara itu, Penolong Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Erda Khursyiah Basir, 40, yang merupakan cucu kepada pasangan itu berkata, datuk dan neneknya (mesra dipanggil wan dalam kalangan keluarga) masih mengambil tahu hal ehwal semasa dan kerap bertanya perkara itu apabila dia pulang ke kampung.
"Walaupun datuk sudah berusia 92 tahun, ingatannya masih kuat. Selalu tengok berita di televisyen meskipun pendengarannya kini sedikit merosot. Jika kita cakap dengan dia mengenai sesuatu, dia akan ingat, malah akan ingatkan kita semula jika perkara itu melibatkan tarikh tertentu.
"Wan pun sama, malah masih aktif bercucuk tanam sayur-sayuran di laman rumah, pendek kata dia tak betah duduk diam. Alhamdulillah, Allah kurniakan mereka berdua kesihatan yang baik dan umur yang panjang. Sakit-sakit orang tua itu ada, tetapi yang kronik alhamdulillah tiada,” katanya.
Mempunyai 10 orang anak, 40 cucu dan lebih 30 cicit, pasangan itu yang berkahwin pada 1954 sudah 72 tahun hidup berumah tangga.
DUN Chennah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mewakili Pakatan Harapan (PH) ditentang calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon. - Bernama