REMBAU - [DIKEMAS KINI] Dua beradik mencuri perhatian apabila tampil mengenakan busana bertemakan Jalur Gemilang, sekali gus menyemarakkan semangat patriotik bersempena dengan Bulan Kebangsaan, di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau di sini .
Anak jati Rantau, Zamzarina Basiron, 45, berkata, idea mengenakan pakaian bertemakan patriotik itu tercetus bersempena dengan ketibaan bulan Ogos, selain mahu menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ketika menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Kebetulan sekarang sudah masuk bulan Ogos dan tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan. Jadi, kami cuba menerapkan semangat patriotik menerusi pakaian.
"Saya kebetulan seorang guru dan memang mempunyai pakaian sebegini setiap tahun. Jadi, saya ajak adik-beradik supaya sama-sama memeriahkan suasana ketika mengundi hari ini,” katanya selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di sekolah berkenaan.
Sementara itu, adiknya, Bahirah Basiron, 39, yang juga usahawan makanan berkata, persiapan untuk mengenakan busana berkenaan dibuat kira-kira dua hari lepas dengan melengkapkannya menggunakan pelbagai aksesori bertemakan Jalur Gemilang.
Seorang lagi adik mereka, Nadzifah Basiron, 36, yang bertugas di Hospital Rembau berkata, walaupun tidak sempat mendapatkan pakaian bertemakan patriotik berikutan komitmen kerja, beliau tetap hadir untuk memberikan sokongan kepada kakaknya.
"Saya seronok tengok kesungguhan kedua-dua kakak menceriakan suasana hari pengundian,” katanya.
Pengundian pada PRN Negeri Sembilan yang membabitkan sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca baik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 dan 75 peratus dengan keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam, manakala keputusan penuh diperoleh sebelum tengah malam. - Bernama