Pasangan kembar kekal tradisi mengundi bersama walaupun tinggal berjauhan

Iklan
Izzat Ismir (kiri) dan Izzat Izwan menunjukkan jari mereka yang telah dicelup dengan dakwat selepas selesai mengundi.

SEREMBAN – Walaupun kini tinggal berjauhan selepas masing-masing berumah tangga, pasangan kembar, Izzat Izwan Mohd Noor dan Izzat Ismir berusia 38 tahun, tetap meneruskan tradisi membuang undi bersama setiap kali pilihan raya.

Kedua-duanya hadir mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini pada jam 10.30 pagi pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurut Izzat Izwan yang bekerja sebagai anggota bomba di Selangor, dia telah pun berbincang dengan kembarnya dua hari awal untuk pergi mengundi bersama.

"Memang sejak kali pertama boleh mengundi, kami akan pergi bersama. Ini kerana walaupun kini sudah tinggal di Selangor, tapi kad pengenalan saya masih menggunakan alamat rumah keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, mereka juga tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana ia merupakan tanggungjawab kepada negara.

Izzat Ismir yang merupakan kakitangan Pejabat Pos Malaysia dan tinggal di Seremban berharap sesiapa sahaja yang akan diberi mandat nanti dapat mentadbir dengan baik serta membawa manfaat kepada rakyat.

Iklan

"Saya tak kisah siapa yang menang, yang penting rakyat di bawah dapat manfaat daripada kemenangan itu.

"Sesiapa pun yang menang, dengarlah keluhan rakyat dan tunaikan janji, bukan hanya bersungguh-sungguh ketika berkempen sahaja," katanya.

Selain itu, dia turut mengakui sering menjadi perhatian kerana wajah mereka yang seiras.