SUNGAI PETANI – Keadaan jalan berlubang dan bertakung air, sehingga kadang-kadang dicemari bau busuk yang disyaki berpunca daripada sisa air najis, menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk Kampung Bukit, Sungai Pasir, di sini.
Penduduk, Salmah Othman, 66, berkata, keadaan yang berlarutan sejak kira-kira setahun lalu kini semakin membimbangkan apabila terdapat penunggang motosikal terjatuh ke dalam lopak minggu lalu sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
Menurutnya, keadaan itu lebih dikesali kerana laluan sama digunakan untuk membawa jenazah bagi urusan pengebumian di masjid dan tanah perkuburan berhampiran.
"Air yang mengalir berbau busuk. Jalan ini sentiasa dilalui siang dan malam untuk keluar masuk kampung. Tidak jauh dari sini ada masjid. Di masjid ada murid Kelas KAFA, dan terdapat tanah perkuburan juga. Laluan sama digunakan untuk membawa jenazah.
"Bayangkan jika kenderaan membawa jenazah melalui jalan berlubang, sedangkan jalan pula sempit, hanya muat sebuah kereta sahaja. Tak boleh berselisih, tak boleh mengelak, apa akan jadi?" katanya.
Selain itu, Rahmat Abd Rahim, 45, berkata, keadaan itu jika dibiarkan berisiko kepada pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal.
"Setiap hari saya melalui jalan ini, makin hari makin teruk. Kita kasihan kepada mangsa yang terjatuh. Kejadian berlaku pada waktu pagi sekitar jam 7, keadaan masih gelap, mungkin tidak nampak jalan berlubang," katanya.
Sementara itu, Ashnor Ahmad, 36, mendakwa, air yang mengalir dan bertakung akibat jalan berlubang mengeluarkan bau busuk serta berwarna hitam kehijauan, berkemungkinan mengandungi sisa kotoran atau bercampur air najis.
"Air mengalir di lopak ini. Ketika cuaca kering pun tetap berbau. Saya rasa mungkin ada sisa najis atau paip pecah. Minta pihak bertanggungjawab mengambil perhatian. Air busuk ini ada kalanya meleleh sehingga ke hadapan rumah," katanya.
Menurutnya, disebabkan bau busuk yang ketara, beliau jarang memberi kebenaran kepada anak-anak bermain di luar rumah kerana bimbang terkena percikan air tersebut.
"Air itu kalau terpercik pada baju dan seluar anak-anak, baunya cukup kuat dan sukar dibersihkan.
"Jalan ini juga digunakan jemaah untuk ke masjid. Kami bimbang apabila air kotor tersebut terkena pada pakaian," katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Irwan Muhamad Zamri, 30, bimbang memikirkan aspek keselamatan penduduk ketika melalui kawasan berkenaan.
"Kami berharap pihak berkenaan mengatasi segera masalah jalan ini. Nampak seperti kecil, tetapi impaknya cukup besar dan memberi kesan terhadap aspek keselamatan serta kebersihan pengguna," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Khairol Jasmin Namin, berkata, perkara itu akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
"Saya ambil maklum dan telah merujuk perkara ini kepada pihak berkaitan untuk tindakan sewajarnya," katanya.