Gelombang xenofobia landa Afrika Selatan

Iklan
Penunjuk perasaan berarak di Alexandra menuntut pengusiran pendatang tanpa izin yang semakin membanjiri negara itu. Foto: AFP

JOHANNESBURG – Gelombang keganasan antiimigran yang semakin memuncak di Afrika Selatan mendorong negara itu menggesa penganjuran satu persidangan khas bagi membincangkan isu migrasi dan merangka penyelesaian bersama terhadap krisis berkenaan.

Kementerian Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan memaklumkan persidangan di bawah naungan Kesatuan Afrika (AU) itu dicadangkan susulan beberapa minggu insiden keganasan yang meragut nyawa serta ketegangan berhubung kehadiran pekerja asing tanpa dokumen di negara berkenaan.

Iklan
Iklan

Selain itu, persidangan berkenaan dijangka meneliti punca peningkatan sentimen antiimigran serta merangka pendekatan menyeluruh bagi membendung xenofobia, diskriminasi dan keganasan terhadap pendatang di seluruh rantau tersebut.

"Keperluan untuk dialog ini semakin mendesak kerana migrasi merupakan fenomena yang melibatkan seluruh Afrika dan kesannya melangkaui bidang kuasa sesebuah negara," menurut kenyataan kementerian.

Iklan

Bantahan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan sentimen antiimigran dan tekanan terhadap kerajaan berhubung isu warga asing. Foto: AFP

Sebagai ekonomi terbesar di rantau itu, Afrika Selatan sejak sekian lama menjadi destinasi utama migran yang mencari peluang pekerjaan dan kehidupan lebih baik.

Iklan

Namun, Johannesburg berdepan gelombang keganasan antiimigran yang berulang sejak hampir dua dekad lalu dengan protes semakin memuncak tahun ini selepas beberapa kumpulan bertindak sendiri memaksa warga asing tanpa dokumen meninggalkan negara itu pada 30 Jun lalu.

Penunjuk perasaan menyerbu pejabat Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri ketika protes menuntut tindakan terhadap isu pendatang haram. Foto: AFP

Berdasarkan rekod AFP yang disusun daripada data beberapa negara Afrika yang membawa pulang rakyat masing-masing, lebih 176,000 pendatang telah meninggalkan Afrika Selatan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Pihak berkuasa Afrika Selatan mengesahkan sekurang-kurangnya empat migran terbunuh dalam insiden keganasan tersebut, namun beberapa kerajaan asing percaya jumlah korban sebenar adalah jauh lebih tinggi.

Peserta protes berundur selepas anggota polis mengancam untuk menyuraikan mereka menggunakan peluru getah. Foto: AFP

Susulan krisis itu, Ghana menggesa isu keganasan antiimigran dibahaskan pada Sidang Kemuncak AU awal tahun depan manakala Nigeria turut mendesak supaya perkara tersebut dimasukkan dalam agenda rasmi blok berkenaan selepas beberapa kali berdepan ketegangan diplomatik dengan Pretoria susulan serangan terhadap rakyatnya.

Bagaimanapun, Afrika Selatan memaklumkan Majlis Eksekutif AU yang bermesyuarat di Ethiopia pada minggu ini memutuskan untuk tidak memasukkan isu migrasi dalam agenda mesyuarat semakan pertengahan penggal yang dijadual berlangsung di Mesir pada Oktober depan.