TEHRAN - Beberapa letupan kedengaran di selatan Iran, termasuk di Pulau Qeshm dan bandar pesisir pantai Bandar Lengeh, pada awal Selasa.
Menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, sebanyak lima letupan dilaporkan berlaku di Pulau Qeshm yang terletak di Selat Hormuz.
Agensi berita separa rasmi, Fars dalam laporan berasingan memaklumkan bunyi letupan turut kedengaran dari arah laut di Bandar Lengeh, wilayah Hormozgan.
Bagaimanapun, punca kejadian masih belum diketahui setakat ini.
Kedua-dua agensi berkenaan juga tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kemungkinan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Laporan itu muncul ketika usaha diplomatik antara Tehran dan Washington masih diteruskan bagi meredakan ketegangan berhubung isu di Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei pada Isnin berkata, kedua-dua negara masih bertukar-tukar mesej menerusi pihak pengantara.
Beliau turut mengesahkan Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi telah mengadakan lawatan ke Doha bagi memudah cara pertukaran mesej berkenaan melalui pengantaraan Qatar.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel memulakan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Tehran kemudian bertindak balas dengan menyasarkan Israel serta aset ketenteraan AS di rantau berkenaan sebelum satu perjanjian gencatan senjata dicapai pada April.
Pada 18 Jun lalu, AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Namun, pelaksanaan memorandum itu masih tertangguh berikutan perselisihan antara kedua-dua negara berhubung aspek keselamatan di laluan strategik berkenaan.