KUALA TERENGGANU - Penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal Honda Beat di lampu isyarat Buluh Gading, di sini telah tampil ke balai polis bagi membuat laporan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 24 tahun berasal dari Bandar Jengka, Pahang itu tidak melarikan diri dari lokasi kejadian seperti yang ditular di media sosial, sebaliknya hanya panik.
"Siasatan mendapati penunggang terbabit tidak lari, cuma dia berada dalam keadaan panik untuk mencari rakan-rakannya yang berada jauh di hadapan sebelum tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) untuk membuat laporan," katanya.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu dalam perjalanan dari Pahang menuju ke sebuah rumah inap di Gong Badak.
"Siasatan awal mendapati ketika berada di lorong kiri, motosikalnya dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.
"Motosikal berkenaan kemudian mengelongsor ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang motosikal Honda Beat ditunggangi seorang wanita bersama anaknya dari arah rumah mereka di Tanjung Sabtu, Manir menghala ke Batu Enam," katanya.
Jelas beliau, kesan rempuhan itu menyebabkan motosikal RXZ berkenaan terbakar sebelum api merebak ke motosikal Honda Beat menyebabkan kedua-dua kenderaan musnah terbakar.
Azli berkata, wanita berusia 36 tahun yang bekerja sendiri itu mengalami luka melecur di kedua-dua belah tangan, manakala anaknya yang merupakan pelajar SMK Dato Haji Mohd Said mengalami luka melecur di seluruh badan.
"Penunggang RXZ pula mengalami bengkak pada lutut serta luka ringan di tangan. Kesemua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
"Mangsa wanita yang juga merupakan seorang atlet memanah kini sarat hamil tujuh bulan, bagaimanapun keadaannya dan kandungan dilaporkan selamat serta sihat," jelas beliau.
Tambah beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.