SHAH ALAM - Pengundi Melayu diingatkan supaya tidak membuat pilihan berasaskan ketakutan atau sentimen perkauman, sebaliknya menilai parti dan calon berdasarkan fakta, integriti serta amanah.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, politik berasaskan perkauman bukan sahaja tidak menyatukan rakyat, malah boleh memecah-belahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang telah lama dibina di negara ini.
Malah menurutnya, sentimen anti DAP yang masih kuat dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu dipercayai terbentuk hasil naratif politik yang dimainkan sejak sekian lama.
"Saya beri tahu semua ni sebab sayang orang Melayu, tak sanggup melihat bangsa sendiri begitu mudah ditipu, begitu mudah dipermainkan dan begitu mudah diperalatkan dengan cerita-cerita yang tidak berasaskan fakta.
"Orang Melayu mesti berani berfikir, berani menyemak dan berani memilih yang benar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Dalam pada itu Mohamad menjelaskan, pelbagai kebimbangan yang sering dikaitkan dengan DAP termasuk dakwaan hak orang Melayu dan kedudukan Islam terjejas tidak berlaku seperti digambarkan.
Menurutnya, naratif ketakutan itu terus diulang sehingga dipercayai walaupun tidak disokong bukti yang jelas.
"Puas saya fikir, mengapa sentimen anti-DAP masih begitu kuat. Adakah masjid ditutup? Tidak. Adakah azan diharamkan? Tidak.
"Adakah hak orang Melayu dalam Perlembagaan dihapuskan? Tidak. Peruntukan untuk syiar Islam juga bukan sahaja tidak dipotong, malah bertambah.
"Jangan sampai kita terlalu takut kepada perkara yang tidak pernah berlaku, tetapi terlalu mudah memejamkan mata terhadap salah laku yang sudah dibuktikan," katanya.