SHAH ALAM - CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO) membuka permohonan bagi CUCKOO Dream Fund berjumlah RM100,000 kepada golongan muda berusia antara 15 hingga 30 tahun bagi merealisasikan idea kreatif yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
Inisiatif yang dilancarkan baru-baru ini itu bertujuan memupuk bakat kreatif di peringkat akar umbi menerusi pembiayaan projek serta bimbingan industri eksklusif daripada Sahabat CSR CUCKOO dan Mentor Dream Fund, Firdhaus.
Berteraskan misi “Merealisasikan Impian, Memacu Masa Hadapan”, dana berkenaan menawarkan gabungan geran projek dan bimbingan bagi membantu penerima membina masa depan kreatif yang mampan.
Sebagai sebahagian daripada teras tanggungjawab sosial korporat (CSR) #SAMASAMAEmpower di bawah pelan induk Projek CUCKOO Loves, Cares, dana itu turut berperanan sebagai platform pemerkasaan sosial yang menggalakkan bakat kreatif muda menyantuni keperluan komuniti, meningkatkan kesedaran isu sosial serta memupuk nilai positif menerusi karya kreatif.
Permohonan dibuka sehingga 30 September 2026.
CUCKOO Dream Fund memperuntukkan dana keseluruhan RM100,000 yang diagihkan menerusi dua kitaran permohonan dengan RM50,000 diperuntukkan bagi setiap kitaran.
Bagi Kitaran 1, pemohon yang berjaya boleh menerima sehingga RM10,000 bagi setiap projek menerusi dua komponen geran iaitu Geran Kreatif sehingga RM5,000 untuk menyokong penghasilan karya seni asli dan pelaksanaan projek serta Geran Penyelarasan Impak Sosial sehingga RM5,000 bagi projek yang mempunyai agenda sosial, jangkauan komuniti atau impak sosial yang jelas.
Dana tersebut mengalu-alukan penyertaan pelajar, graduan baharu dan pencipta kandungan bebas menerusi lima domain kreatif yang layak.
Antaranya Kandungan Digital dan Penceritaan seperti filem pendek, dokumentari atau kempen digital berkaitan isu sosial; Muzik dan Seni Bunyi yang menyampaikan mesej harapan dan kesejahteraan komuniti; Reka Bentuk dan Seni Visual termasuk mural komuniti dan inisiatif fesyen mampan; Seni Persembahan dan Gerakan seperti tarian komuniti serta bengkel kreatif untuk komuniti terpinggir atau golongan asnaf.
Dalam pada itu, penyanyi dan pencipta lagu tiga bahasa, Firdhaus turut menyertai inisiatif berkenaan sebagai Sahabat CSR CUCKOO dan Mentor Dream Fund.
Beliau akan membantu proses senarai pendek calon selain membimbing secara langsung penerima geran dalam melaksanakan projek mereka bagi mencapai kecemerlangan seni dan penyampaian mesej yang bermakna.
Bagi permohonan, peserta perlu menghantar video pembentangan berdurasi dua minit bersama kertas cadangan projek yang memperincikan idea kreatif serta visi impak sosial menerusi laman sesawang rasmi CUCKOO Dream Fund sebelum tarikh tutup permohonan.
Pemohon yang disenarai pendek akan dijemput membentangkan projek mereka secara langsung sebelum pemilihan akhir dibuat.
Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria iaitu kebolehlaksanaan projek (50 peratus), inovasi dan keaslian idea (25 peratus), kemampanan projek (15 peratus) serta impak sosial projek (10 peratus).
Maklumat lanjut dan permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi CUCKOO Dream Fund.