KUALA PILAH – Satu mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan didakwa berlangsung di Istana Besar Seri Menanti pada Jumaat bagi mendengar aduan-aduan dari Luak Jelebu, berdasarkan sepucuk surat yang dilihat Sinar Harian.
Surat bertarikh 30 Julai 2026 yang tertera perkataan 'RAHSIA' pada bahagian atas dan bawah dokumen itu memaklumkan mesyuarat berkenaan diadakan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dokumen yang ditandatangani Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin itu turut menyatakan mesyuarat berkenaan dijadual diadakan pada 31 Julai 2026, jam 4 petang di Istana Besar Seri Menanti bagi mendengar aduan-aduan dari Luak Jelebu.
Surat berkenaan juga memohon kerjasama penerima untuk menyembah maklum perkara tersebut kepada Undang Luak Johol.
Terdahulu, krisis melibatkan institusi adat di Negeri Sembilan semakin memuncak apabila kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Rembau pula diarah dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.
Surat arahan pengosongan tersebut yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, bertarikh 29 Jun dan telah tersebar.
Arahan terbabit dikeluarkan susulan Hassan Ab Hamid telah dizahirkan kejadian sebagai Dato' Sedia Raja Undang Luak Rembau ke-22.
Pada 30 April lalu, arahan sama dikeluarkan terhadap Datuk Mubarak Dohak supaya mengosongkan kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Surat itu menyebut, keputusan berkenaan dibuat selaras dengan keputusan Sidang Khas Dewan DKU bertarikh 17 April lalu.
Kekosongan jawatan Undang Luak Rembau selepas penyandang Dato' Lela Maharaja, Datuk Muhamad Sharip Othman meninggal dunia pada 15 Mei 2024.
Kemudiannya pada Ogos 2024, Abd Rahim Yasin dilaporkan dilantik sebagai Undang Luak Rembau ke-22 sebelum Hassan dizahirkan sebagai Undang Luak sama pada Jun lalu.