ISTANBUL - Seorang pegawai kanan Hamas menegaskan gerakan itu tidak akan mengambil sebarang langkah ke arah pelucutan senjata sebelum tentera Israel berundur dari Genting Gaza.
Jurucakap delegasi rundingan damai, Ghazi Hamad pada Jumaat berkata, isu peletakan senjata berkait rapat dengan penarikan semula askar rejim Zionis dari Gaza serta usaha pembinaan semula wilayah berkenaan.
"Israel tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam proses pelucutan senjata. Ia akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa kebangsaan Palestin. Kami tidak akan akur dengan tuntutan itu selagi Israel tidak memenuhi syarat ditetapkan di bawah perjanjian tersebut.
"Rundingan pada kali ini agak sukar dan mencabar. Kami berusaha mendapatkan hasil terbaik di samping mempertahankan hak penduduk Palestin," ujarnya yang turut berterima kasih kepada Mesir, Qatar dan Turkiye selaku negara perantara yang berusaha menjayakan proses damai tersebut di Kaherah.
Hamad membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai perjanjian bagi pelucutan senjata sepenuhnya oleh Hamas dan kumpulan lain di Gaza yang bakal juga menyaksikan tentera Israel berundur secara berperingkat dari kawasan diduduki mereka.
Pemimpin Republikan itu memaklumkan kesepakatan berkenaan akan dilaksanakan mengikut fasa menerusi kerjasama Pasukan Penstabilan Antarabangsa dan pasukan polis Palestin baharu untuk mengawasi situasi keselamatan di Gaza.
Gencatan senjata itu dicapai di bawah pelan 20 perkara Trump yang diselia oleh 'Lembaga Keamanan' dipengerusikannya.
Pelan itu turut memperuntukkan penubuhan kepimpinan teknokrat Palestin iaitu Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) untuk mengendalikan urusan pentadbiran harian Gaza di bawah fasa pasca perang.
Ketika pertemuan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Trump di Rumah Putih pada Selasa, isu Gaza tidak disentuh sama sekali oleh kedua-dua sekutu tersebut yang kini lebih memberi tumpuan terhadap Perang Iran. - Agensi