SEREMBAN - Cuaca di hampir seluruh Negeri Sembilan dijangka baik pada sebelah pagi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, esok.
Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kebanyakan kawasan di tujuh daerah, iaitu Seremban, Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin, Port Dickson dan Rembau dijangka cerah dari pagi hingga tengah hari.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, pada sebelah petang, kebanyakan kawasan di negeri itu dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.
Sebanyak 401 tempat mengundi akan dibuka serentak dari 8 pagi hingga 6 petang esok, melibatkan sekolah, balai raya, dewan dan kolej.
Sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat, dengan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon. - Bernama
Artikel Berkaitan