SEREMBAN - Keamanan dan kesejahteraan hanya dapat dikekalkan apabila setiap individu mengamalkan integriti serta menjauhi segala bentuk penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.
Pesanan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat yang dibacakan di seluruh masjid di Negeri Sembilan yang bertajuk 'Menghargai Nikmat, Menjauhi Kerosakan'.
Berdasarkan teks khutbah berkenaan, diingatkan bahawa perbuatan salah guna kuasa bukan sahaja menyebabkan hak orang lain diambil secara batil, malah menggugat kepercayaan dan merosakkan kesejahteraan yang telah dibina.
"Kisah kaum Madyan dalam ayat ini memberikan pengajaran bahawa nikmat kesejahteraan sesuatu umat boleh terjejas akibat ketidakjujuran dan penyelewengan," menurut khutbah.
Justeru dinyatakan bahawa kejujuran dalam pengurusan amatlah penting bagi memastikan setiap urusan dikendalikan secara telus dan berintegriti di samping menangani gejala rasuah, salah guna kuasa serta pelbagai bentuk penyelewengan.
Dalam Khutbah itu turut dijelaskan bahawa ALLAH melarang umat manusia melakukan kerosakan kerana kerosakan yang berlaku setelah terbinanya kesejahteraan akan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.
"Oleh itu, umat Islam hendaklah menjauhi segala perbuatan yang menggugat ketenteraman dan kestabilan kehidupan bermasyarakat.
"Kerosakan di dunia ini merangkumi perbuatan maksiat yang merosakkan akhlak, amalan, rezeki serta kehidupan dunia dan akhirat," menurut khutbah.
Dalam khutbah itu turut meminta masyarakat memelihara kesejahteraan dengan mentaati perintah ALLAH SWT, menjauhi larangan-Nya dan membudayakan amalan ihsan dalam kehidupan.
"Kita juga perlu melaksanakan tuntutan ini berdasarkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, sama ada sebagai pemimpin, pentadbir, ketua keluarga mahupun orang awam dalam masyarakat.
"Ini bertepatan dengan peringatan Rasulullah SAW bahawa setiap orang memikul tanggungjawab dalam lingkungan masing-masing," menurut khutbah.
Khutbah itu memaklumkan bahawa jelaslah bahawa usaha memperkukuh tadbir urus yang bersih, memelihara kebajikan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan pembangunan yang bermanfaat memerlukan muafakat daripada semua pihak.
"Bak kata perbilangan, 'Tali yang tiga lembar itu, tak suang-suang putus. Apabila seluruh masyarakat memahami dan melaksanakan peranan masing-masing, Insya-ALLAH kesejahteraan dapat dikekalkan,"katanya.
-