Isu 3R, berita palsu masih pengaruhi pengundi Negeri Sembilan

Iklan
Isu berkaitan 3R, penyebaran berita palsu dan penyelewengan fakta didapati masih mewarnai perbualan masyarakat dan mempengaruhi persepsi pengundi menjelang hari pengundian PRN Negeri Sembilan. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), penyebaran berita palsu serta penyelewengan fakta didapati masih mewarnai perbualan masyarakat dan mempengaruhi persepsi pengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dapatan itu diperoleh menerusi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) yang dijalankan Pusat Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDERC) sebagai sebahagian daripada Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan Menjelang PRN Ke-16 esok. 

Iklan
Iklan

Menurut laporan itu, isu-isu sensitif berkaitan 3R dan perpaduan masih kuat berlegar dalam komunikasi harian masyarakat, manakala penyebaran berita palsu, maklumat yang tidak disahkan serta penyelewengan fakta pula dilihat berpotensi membentuk kefahaman dan persepsi pengundi secara tidak tepat. 

"Perbualan di lapangan turut memperlihatkan penyebaran berita palsu, maklumat yang tidak disahkan dan penyelewengan fakta yang berpotensi membentuk kefahaman serta persepsi pengundi secara tidak tepat," katanya pada Jumaat.

Iklan

Laporan sama menyatakan keadaan itu menunjukkan naratif politik semasa bukan sahaja dipengaruhi oleh isu sebenar, malah turut dibentuk oleh cara maklumat ditafsir, disebarkan dan dimanipulasi dalam ruang sosial masyarakat. 

Dalam pada itu, FGD turut mendapati pendekatan kempen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung kempen telah meningkatkan perhatian sebahagian masyarakat terhadap isu semasa, selain mendorong pengundi khususnya golongan atas pagar mendapatkan penjelasan dan menyemak fakta sebelum membuat keputusan. 

Iklan

Bagaimanapun, laporan itu menjelaskan peningkatan pencarian maklumat tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan terhadap mana-mana parti kerana keberkesanannya masih bergantung kepada kemampuan jentera politik memberikan penjelasan yang mudah, konsisten dan meyakinkan. 

Selain itu, FGD berkenaan mendapati sebahagian pengundi Cina merasakan sentimen anti-DAP dimainkan secara berlebihan sehingga perbahasan tidak lagi tertumpu kepada dasar atau prestasi parti, sebaliknya mula menyentuh persoalan identiti dan kedudukan mereka sebagai rakyat Malaysia. 

Menurut laporan itu, keadaan berkenaan boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Cina dan berpotensi mempengaruhi corak pengundian mereka, bergantung kepada keupayaan parti membawa semula kempen kepada persaingan dasar dan prestasi. 

FGD itu turut mengenal pasti isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai antara perkembangan yang muncul pada saat akhir kempen dan berpotensi mempengaruhi persepsi pengundi Melayu-Islam, terutama mereka yang masih belum memuktamadkan pilihan. 

Menurut laporan itu, isu berkenaan menyentuh persoalan amanah, tadbir urus dan ketelusan institusi, namun kesannya bergantung kepada fakta yang didedahkan, kejelasan penerangan kepada masyarakat serta sejauh mana parti-parti politik mengelakkan manipulasi kandungan laporan. 

Mengulas keseluruhan dapatan, IDERC berpandangan empat perkembangan mutakhir iaitu pendekatan kempen Anwar, reaksi terhadap sentimen perkauman, perbahasan mengenai RCI Tabung Haji serta persepsi terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berpotensi mempengaruhi pengundi yang masih belum membuat keputusan menjelang hari pengundian. 

Bagaimanapun, laporan itu menegaskan kesan semua faktor tersebut tidak semestinya seragam kerana ia bergantung kepada cara sesuatu isu diterangkan, tahap kepercayaan terhadap sumber maklumat serta kemampuan parti menterjemahkan sentimen positif kepada kadar keluar mengundi, khususnya di kerusi-kerusi marginal. 

Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan Menjelang PRN Ke-16 itu melibatkan 1,225 pengundi di kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi kajian lapangan secara bersemuka yang dijalankan dari 16 hingga 19 Julai lalu, sebelum pemantauan susulan dilakukan sehingga 30 Julai. Kajian berkenaan mempunyai margin ralat sekitar 2.8 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.