JEMPOL – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat akar umbi menunjukkan keserasian sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, meskipun kedua-dua parti sebelum ini berada dalam blok politik berbeza.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, tempoh kira-kira dua minggu berkempen memberi ruang kepada kedua-dua parti membina persefahaman sehingga gerak kerja bersama dapat diterjemahkan dengan lebih baik di lapangan.
Menurutnya, pada peringkat awal kerjasama itu sedikit kekok memandangkan PN dan BN sebelum ini merupakan 'musuh' politik, namun keadaan berubah apabila jentera kedua-dua parti kerap bertemu dan turun berkempen bersama.
"Alhamdulillah, dalam tempoh dua minggu ini kerjasama yang baik dapat diterjemahkan, khususnya di Serting dan juga di seluruh Negeri Sembilan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas sepanjang tempoh berkempen, sambutan terhadap calon-calon PN di beberapa kawasan juga dilihat positif, namun keputusan muktamad tetap bergantung kepada pilihan pengundi pada hari mengundi.
Mengulas ramalan beberapa pihak bahawa kerjasama antara dua gabungan parti itu mampu mencatat keputusan memberangsangkan pada PRN kali ini, Mohd Fairuz berkata, setiap pihak mempunyai pandangan dan penilaian masing-masing.
"Kalau benar seperti yang diramalkan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, kita berharap perkara itu tidak berlaku kerana kita komited meneruskan kerjasama ini.
"Kami berharap diberi mandat untuk mengurus kebajikan rakyat dan pembangunan negeri dengan lebih baik," katanya.
Mohd Fairuz yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting turut menjelaskan tawaran yang dibawa PN tidak bertembung dengan manifesto BN, sebaliknya boleh dilaksanakan secara bersama sekiranya kedua-dua pihak diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau menggesa pengundi di Negeri Sembilan keluar mengundi lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat pada Sabtu.
Beliau juga mengingatkan semua calon, jentera dan penyokong supaya mematuhi peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selain tidak mudah melatah atau melayan sebarang provokasi yang mungkin timbul pada saat-saat akhir kempen, khususnya di media sosial.
"Saya harap semua bersabar dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan. Jangan kerana perkara kecil, ia menjadi isu yang lebih besar," katanya.