PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan generasi kini agar menghayati bahawa kebebasan, keamanan dan kemakmuran negara dicapai hasil pengorbanan pasukan keselamatan mempertahankan tanah air.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawakan kembali kisah"Darah Pahlawan Ulu Legong” pada Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negara 2026 di Dataran Pahlawan Negara, hari ini.
"Kita (perlu) ingat dan kenang pengorbanan (perwira).
"Generasi kini harus ingat bahawa negara ini bebas, merdeka, aman dan makmur kerana perkhidmatan dan pengorbanan pasukan pertahanan,” kata beliau selepas Istiadat Perbarisan itu di sini hari ini, yang turut dihadiri isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Persembahan pantomim"Darah Pahlawan Ulu Legong" itu mengangkat kembali kisah pengorbanan tujuh anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas komunis di Ulu Legong di Baling, Kedah pada 29 Oktober 1981.
Sementara itu, Anwar berkata persembahan pantomim berkenaan mengingatkan generasi muda tentang erti kemerdakaan negara yang menuntut pengorbanan daripada semua pasukan pertahanan.
"Kita lihat, umpamanya (pasukan keselamatan) bukan sekadar berjuang, tetapi terkorban.
"Sebab itu saya berterima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera kerana mempamerkan dan mengingatkan generasi sekarang erti merdeka dan makna merdeka yang menuntut pengorbanan," kata beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri turut meluangkan masa menyampaikan penghargaan kepada Prebet Md Said Adam yang terselamat dalam kejadian di Ulu Legong itu dan Pegawai Pemerintah 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) Lt Kol Hamzah Othman serta waris anggota yang terlibat dalam peristiwa berkenaan yang hadir pada istiadat bersejarah yang penuh nostalgia itu.
Istiadat bertemakan"Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan" dinaungi Tentera Darat Malaysia (TDM) itu menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan negara sejak era Darurat dan Konfrontasi, selain mengingatkan bahawa keamanan tidak hadir tanpa pengorbanan yang tiada nilainya. - Bernama