SHANGHAI - Malaysia Airlines terus memperkukuh momentum pertumbuhan di China menerusi pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Huawei, Weixin Pay dan TravelSky Technology Limited, sekali gus memperluas kehadiran digital serta memudahkan pengalaman perjalanan pengguna dari negara itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, kerjasama yang dimeterai bersempena China Trade Gala di Shanghai Selasa lalu meliputi platform digital, penglibatan pelanggan dan pengedaran, selain menyokong integrasi lebih mendalam dengan ekosistem yang banyak digunakan pengguna China.
Menerusi kerjasama itu, beliau berkata, pelancong China bakal mempunyai akses lebih mudah untuk mendapatkan maklumat berkaitan perjalanan, mencari serta menempah perkhidmatan Malaysia Airlines dan berinteraksi dengan syarikat penerbangan berkenaan menerusi saluran digital yang biasa digunakan.
"Langkah berkenaan dilihat selari dengan peningkatan permintaan terhadap perjalanan antara China dan Malaysia, dengan Malaysia Airlines merekodkan lebih 600,000 penumpang menerusi perkhidmatan China pada separuh pertama 2026," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, jumlah itu meningkat 27 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala faktor muatan purata direkodkan sebanyak 84 peratus.
"Momentum berkenaan dijangka berterusan sepanjang musim cuti Minggu Emas China apabila Malaysia Airlines menjangkakan membawa lebih 52,000 penumpang bagi penerbangan pergi dan balik China antara 26 September hingga 11 Oktober ini.
Nasaruddin berkata, China merupakan pasaran pertumbuhan keutamaan bagi Malaysia Airlines, dengan peluasan rangkaian kepada sembilan pintu masuk mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi jangka panjang pasaran itu.
“China adalah pasaran pertumbuhan keutamaan bagi Malaysia Airlines dan peluasan rangkaian kami kepada sembilan pintu masuk mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi jangka panjangnya.
“Perkembangan yang kita raikan ini dapat dicapai hasil kepercayaan pelanggan serta kerjasama erat kerajaan, sektor perdagangan pelancongan, korporat dan rakan kongsi industri,” katanya.
Jelas beliau, ketika MAG memasuki fasa pertumbuhan seterusnya menerusi Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0), syarikat akan terus meletakkan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk ke Asia dan destinasi di luar rantau itu.
Menurutnya, Malaysia Airlines turut memberi tumpuan kepada pelaburan dalam rangkaian, pesawat, keupayaan operasi serta kerjasama tempatan yang relevan bagi memenuhi keperluan pelancong China pada skala lebih besar.
Pada 2026, Malaysia Airlines memulihkan semula penerbangan harian ke Chengdu selain memperkenalkan penerbangan harian baharu ke Shenzhen dan Changsha.
Penambahan itu memperluas capaian syarikat penerbangan berkenaan merangkumi China Barat, Greater Bay Area dan China Tengah.
Malaysia Airlines kini menyediakan perkhidmatan ke sembilan pintu masuk di China, selain destinasi sedia ada termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong dan Taipei.
Rangkaian berkenaan turut bakal diperluas menerusi syarikat penerbangan saudaranya, Firefly yang merancang memulakan penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Kunming, tertakluk kepada kelulusan kawal selia.
Laluan menggunakan pesawat Boeing 737-800 itu akan mewujudkan hubungan terus baharu antara Yunnan dan Malaysia, selain menyokong perjalanan bagi tujuan percutian, perniagaan, pendidikan dan kebudayaan.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur terus memainkan peranan penting sebagai hab yang menghubungkan pelancong China dengan destinasi di Malaysia, ASEAN, Asia Selatan, Australia dan New Zealand.
Menerusi inisiatif seperti program Bonus Side Trip, Malaysia Airlines turut memberi peluang kepada penumpang yang transit di Kuala Lumpur untuk meneroka lebih banyak destinasi di Malaysia sebagai sebahagian daripada perjalanan mereka.
Perkembangan rangkaian serta kerjasama digital itu turut menyokong aspirasi Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan nasional dalam menjayakan Visit Malaysia 2026, khususnya usaha mengalu-alukan lebih ramai pelancong China ke negara ini.
Dengan peluasan rangkaian, peningkatan permintaan dan integrasi dengan platform digital yang dekat dengan pengguna China, Malaysia Airlines terus mengukuhkan hubungan perjalanan antara China, Malaysia dan rantau lebih luas.