TAMPIN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dapat diumumkan sebelum pukul 12 tengah malam, dengan keputusan awal dijangka mula diperoleh sekitar pukul 10 malam, Sabtu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan semua persiapan pengundian kini berada pada tahap terbaik dan proses semakan peti undi di setiap pusat mengundi telah selesai dilaksanakan.
Menurutnya, SPR telah meninjau sendiri proses semakan peti undi di Dewan Perdana Tampin pada Jumaat, selain memastikan semua pusat mengundi di seluruh negeri berada dalam keadaan siap siaga.
“Kita cuba mengeluarkan keputusan paling awal sekitar pukul 10 malam dan sasaran kita ialah keputusan penuh dapat diumumkan sebelum pukul 12 tengah malam,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Perdana Tampin di sini pada Jumaat.
Ramlan berkata, SPR juga tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan dakwaan sogokan atau rasuah sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, sebarang maklumat berhubung kesalahan rasuah pilihan raya perlu disalurkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia berada di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.
“SPR hanya menerima aduan berkaitan proses pilihan raya dan kesalahan-kesalahan kecil pilihan raya yang diambil tindakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Untuj rekod, seramai 867,151 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan, termasuk 7,391 pengundi pos, manakala 859,760 merupakan pengundi biasa.
Sebanyak 401 pusat mengundi melibatkan 1,668 saluran akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan dikendalikan 15,344 petugas pilihan raya.
Sepanjang tempoh berkempen, SPR turut merekodkan 267 kesalahan pilihan raya.