GUA MUSANG - Tiga beranak maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dipercayai bertembung dengan sebuah lori tangki membawa muatan diesel di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk di sini pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, dua lelaki serta seorang wanita maut di lokasi kejadian.
"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan ini pada jam 7.16 pagi, seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang digerakkan ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut beliau, tiba di lokasi pihaknya mendapati benar kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan diesel dengan sebuah Perodua Myvi.
Ujarnya, lori berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
"Kemalangan itu menyebabkan mangsa terlibat dipercayai tersepit di dalam kereta sebelum anggota bertugas mengeluarkan mereka menggunakan peralatan khas untuk menyelamat.
"Mayat tiga beranak itu diserahkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan," katanya.