Bila bapa jadi pemangsa paling kejam

Iklan
Dua kes di mahkamah baru-baru ini amat menggemparkan dan mencerminkan betapa seriusnya jenayah rogol dan sumbang mahram di negara ini.

RUMAH sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak. Malangnya, bagi sesetengah anak-anak ini, rumah bertukar menjadi 'neraka', manakala insan yang sepatutnya melindungi mereka menjadi pemangsa paling kejam.

Dua kes di mahkamah baru-baru ini amat menggemparkan dan mencerminkan betapa seriusnya jenayah rogol dan sumbang mahram di negara ini.

Iklan
Iklan

Di Miri, seorang lelaki berusia 47 tahun dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan merogol anak kandungnya. Lebih menyayat hati, mangsa hidup dalam penderitaan lebih sedekad sejak berusia sembilan tahun. Ugutan, kekerasan dan ketakutan menyebabkan mangsa serta ahli keluarga gagal mendapatkan bantuan lebih awal.

Di Tawau pula, seorang lelaki berusia 53 tahun dihukum penjara 105 tahun dan 70 sebatan selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya.

Iklan

Lebih mengejutkan, tertuduh didakwa memanipulasi emosi mangsa dengan mengungkit pengorbanannya sebagai bapa sebelum memaksa mangsa menempah bilik hotel untuk memenuhi nafsunya.

Persoalannya, mengapa kes seumpama ini terus berlaku? Antara faktor utama ialah budaya takut dan malu masih menebal dalam masyarakat. Ramai mangsa memilih berdiam diri kerana bimbang tidak dipercayai, dipersalahkan atau terima ancaman daripada pelaku.

Iklan

Lebih membimbangkan apabila pelaku ialah individu yang mempunyai kuasa mutlak dalam keluarga, menyebabkan mangsa terperangkap dalam kitaran penderaan selama bertahun-tahun.

Usaha membanteras jenayah ini memerlukan pendekatan menyeluruh. Pendidikan seksual perlu diperkasakan sejak usia kanak-kanak. Guru, petugas kesihatan dan masyarakat juga perlu dilatih mengenal pasti tanda-tanda penderaan serta mengetahui saluran yang betul untuk melaporkannya.

Dalam masa sama, agensi berkaitan seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sekolah perlu memperkukuh kerjasama supaya setiap aduan disiasat dengan segera tanpa memandang ringan sebarang petunjuk awal.

Sokongan psikologi dan perlindungan kepada mangsa juga perlu diberikan agar mereka berani tampil mendapatkan keadilan.