HULU SELANGOR - [KEMAS KINI] Jenazah rakyat Malaysia Ahmad Shah Ahmad Ros yang maut selepas ditikam dalam insiden pergaduhan di Korea Selatan beberapa hari lepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 10.10 malam ini.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan yang dihadiri ahli keluarga, sanak saudara serta kawan rapat Allahyarham bagi memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Ahmad Shah, 26, dibawa ke Masjid Bandar Tasik Puteri pada 8.54 malam untuk disolatkan.
Dalam kejadian pada malam Sabtu lepas, Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas ditikam pada bahagian perut oleh seorang lelaki yang juga dipercayai warganegara Malaysia.
Insiden berlaku ketika Allahyarham cuba membantu rakannya yang diserang sekumpulan lelaki dalam satu pergaduhan di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Akibat serangan itu, Allahyarham mengalami pendarahan serius sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Korea Selatan telah menahan suspek utama serta sekumpulan lelaki warga Malaysia bagi membantu siasatan.
Sementara itu, sikap Allahyarham yang sentiasa mengutamakan orang lain diakui oleh kawan rapatnya Muhammad Jalalludin Othman, 35, yang menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat mereka yang mengenalinya.
Muhammad Jalalludin berkata perkenalannya dengan Allahyarham bermula sejak 2017 ketika kedua-dua mereka bekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebelum Allahyarham berhijrah ke Korea Selatan untuk bekerja.
"Arwah seorang yang sangat peramah dan sentiasa bersedia membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan. Kalau ada anak-anak muda tempatan yang baru sampai di Korea Selatan untuk mencari rezeki, dialah yang akan bantu ambil mereka, beri perlindungan awal dan bantu carikan pekerjaan.
"Malah, arwah pernah hulurkan bantuan wang tunai beribu Won kepada saya dan rakan-rakan lain ketika dalam kesusahan sementara menunggu gaji. Sebab itulah di kampung mahupun di perantauan, ramai yang kenal dan menyenangi sifat peramah beliau,” katanya ketika ditemui di masjid itu.
Beliau berkata kali terakhir mereka bertemu ialah pada awal 2024 di Korea Selatan sebelum beliau pulang ke tanah air berikutan kesihatan arwah ayahnya yang merosot ketika itu.
"Peristiwa hitam yang menimpa Allahyarham ternyata mengejutkan seluruh ahli keluarga serta rakan-rakan di Malaysia dan Korea Selatan yang menyifatkannya sebagai insiden yang amat tragis dan tidak disangka-sangka,” katanya. - Bernama