KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 dengan segera.
Berdasarkan kenyataan media, AGC berkata, penelitian itu dibuat bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.
Jabatan itu turut memberi jaminan bahawa, sebarang keputusan pendakwaan, sekiranya diperlukan, akan dibuat berlandaskan undang-undang serta keterangan yang boleh diterima malah tidak dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
"Jabatan ini akan meneliti laporan berkenaan bagi memastikan segala aspek siasatan oleh badan-badan penguat kuasa dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan komprehensif.
"Ia juga akan dipertimbangkan dengan sewajarnya bagi menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, AGC menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasi laporan RCI berkenaan dan mendedahkannya kepada umum.
Susulan itu AGC berkata, penemuan yang terkandung dalam laporan tersebut akan dipandang serius khususnya berkaitan hal ehwal pengurusan, pelaburan serta dakwaan salah laku.
AGC berkata, tindakan berkenaan selaras dengan tanggungjawab perlembagaannya bagi memastikan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan berdasarkan bukti yang ada.
"Dalam pada itu, orang awam disaran tidak membuat spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya
AGC berkata, langkah itu penting bagi memelihara integriti proses siasatan selain memastikan keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan TH dalam melaksanakan peranannya terus terpelihara.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum selepas dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Anwar mengakui beliau ‘dicabar’ pihak tertentu kerana belum mengeluarkan laporan tersebut walaupun pernah menyatakan akan berbuat demikian.
RCI yang dianggotai enam pesuruhjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif manakala anggotanya ialah termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, dan pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Tiga lagi anggota ialah Pengerusi CARIASEAN Research and Advocacy dan Asean Business Advisory Council Malaysia (ketika dilantik), Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) (ketika dilantik), Prof Dr Asmadi Mohamed Naim; serta akauntan bertauliah Norsyahrin Hamidon.
Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang ketika itu adalah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya berkenaan.
Enam pesuruhjaya itu dilantik dan ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 20 Januari 2022, dengan tempoh pelantikan selama enam bulan hingga 19 Julai tahun sama.