Guna perisian komputer tanpa lesen, premis khidmat perunding arkitek diserbu

Iklan
KPDN Selangor melaksanakan pemeriksaan ke atas premis khidmat perunding arkitek yang disyaki menggunakan perisian komputer tanpa lesen sah di Puchong pada Khamis. Foto: KPDN Selangor

PUCHONG - Khidmat perunding arkitek reka bentuk dan perancangan seni bina disyaki menggunakan perisian komputer bagi tujuan komersial tanpa lesen sah dikesan menerusi serbuan di sebuah premis di sini pada Rabu.

Premis disyaki melanggar undang-undang hak cipta itu diserbu kira-kira jam 11.15 pagi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, wakil pemilik hak cipta telah menjalankan pengesahan awal terhadap penggunaan perisian komputer di premis berkenaan.

Menurutnya, empat salinan perisian dipercayai digunakan tanpa lesen sah telah dikesan pada komputer yang diperiksa.

Iklan

Nilai keseluruhan perisian dan peralatan yang dirampas dalam serbuan tersebut dianggarkan RM107,700. Foto: KPDN Selangor

"Daripada jumlah tersebut, dua perisian dipercayai digunakan bagi tujuan pemodelan pengangkutan dan perancangan trafik, manakala dua perisian lagi merupakan perisian sokongan.

Iklan

"Satu tindakan kes telah dihasilkan kerana premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 iaitu ada dalam milikannya, jagaan atau kawalan, bagi apa-apa kegunaan selain daripada untuk kegunaan persendirian dan domestik, apa-apa salinan langgaran," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, KPDN Selangor turut menyita beberapa dokumen, peralatan komputer serta dua buah komputer bagi tujuan analisis forensik dan siasatan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan perisian dan peralatan yang dirampas dalam serbuan tersebut dianggarkan RM107,700.

Tegasnya, KPDN mengingatkan semua pihak yang menggunakan karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan supaya memohon kelulusan daripada pemilik hak cipta bagi mengelak tindakan tegas mengikut Akta Hak Cipta 1987.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk bersama sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku," ujarnya.