Pemandu e hailing 'lalok' ada tujuh rekod kes dadah direman kes rempuh Myvi di lampu isyarat

Iklan
Suspen direman tiga hari bagi membantu siasatan disyaki memandu secara cuai hingga menyebabkan kemalangan dua kenderaan Rabu lalu. Foto: Sinar.

MELAKA - Seorang pemandu e-hailing yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah direman tiga hari selepas disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sintetik atau ‘piu piu’ sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan dua kenderaan di Persimpangan Lampu Isyarat Gong (MBMB) di sini yang kejadian tular di media sosial Rabu lalu.

Perintah reman sehingga 1 Ogos itu dikeluarkan Majistret Afiqah Radhiah Zainurin di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 11.33 malam.

Sedutan video tular papar kemalangan dua kenderaan Rabu lalu.

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam selepas Toyota Vios dipandu suspek berusia 26 tahun melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

“Kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah Bukit Beruang menuju ke Persimpangan Lampu Isyarat Gong (MBMB).

Iklan

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hanya melibatkan kerosakan pada kedua-dua kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat yang memaparkan keadaan dua kereta yang remuk selepas berlaku pelanggaran di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Keadaan remuk belakang Perodua Myvi selepas dilanggar kenderaan suspek dari arah belakang. Foto: sedutan video tular.

Dalam video itu, suspek yang masih memakai pakaian sama seperti ketika kejadian dilihat mencangkung di lokasi kemalangan sambil dikelilingi orang awam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek mengaku berada di bawah pengaruh dadah tersebut dan polis turut menemukan rokok elektronik di tempat duduk pemandu kenderaan berkenaan.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum menjalani ujian saringan air kencing di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN).

“Keputusan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.

“Suspek turut dibawa ke Hospital Melaka bagi pengambilan sampel darah untuk ujian toksikologi sebelum ditahan reman,” katanya.

Halim berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 45A(1) APJ 1987.