SEREMBAN – Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim menerima dengan hati terbuka keputusan penarikan dua darjah kebesaran negeri yang diterimanya lebih 40 tahun lalu.
Menurut beliau, notis mengenai penarikan darjah kebesaran Datuk Seri Utama dan Datuk yang diterimanya daripada Istana pada Khamis disambut dengan lapang dada.
"Berita tentang penarikan bintang kehormatan Datuk Seri Utama serta Datuk Seri dari Istana pada 30 Julai saya terima dengan lapang dada.
Mohd Rais berkata, kedua-dua darjah kebesaran itu diterimanya pada 1982 selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Katanya, anugerah tersebut dikurniakan oleh Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai menghargai khidmat beliau ketika menjadi Menteri Besar.
"Ia dianugerahkan oleh Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman di atas khidmat saya selaku Menteri Besar ketika itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon semua pihak supaya berfikiran matang dan tidak menganggap perkara tersebut sebagai polemik semasa kempen pilihan raya.
Beliau berkata, isu itu tidak seharusnya dijadikan bahan untuk menyerang mana-mana pihak, namun persoalannya kenapa waktu pilihan raya.
"Persoalan sama ada bijak notis ini dibuat hari ini iaitu 30 Julai? Inj terserah kepada rakyat di Negeri Sembilan, khasnya pengundi di kawasan Klawang dan Jelabu.
"Tapi saya anggap ia biasa kerana bukan saya saja terima nasib seperti ini," katanya.
Jelasnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tan Sri Othman Saat yang juga bekas Menteri Besar Johor serta Perdana Menteri ke-10 turut pernah melalui pengalaman sama.
"Tidaklah ia menjadi soal dan isu besar.Anugerah diberi dan anugerah ditarik. Cuma rakyat mungkin bertanya apa sebab-musababnya.
"Ini bukan pihak saya untuk menjawab. Pihak yang telah melibatkan diri dalam hal ini patut menjawab," katanya.