LABU – Pertemuan sulung antara kepimpinan Ameerah Pas Malaysia dan Puteri UMNO Malaysia disifatkan sebagai detik bersejarah apabila kedua-dua sayap wanita muda itu berganding bahu bagi memperkukuh kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Nur Umaira Hasim atau lebih dikenali sebagai Maira Hasim.
Pertemuan yang berlangsung di Ghumah Pangkin Kitchen pada 26 Julai lalu itu diketuai Ketua Pengarah Ameerah Pas Malaysia, Mardhiyyah Johari dan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Maira yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah merupakan satu-satunya calon mewakili Puteri UMNO Malaysia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Dalam ucapannya, Mardhiyyah menyeru pengundi memberi sokongan kepada Maira bagi memastikan kemenangan BN di Labu, manakala Nurul Amal menzahirkan penghargaan kepada Ameerah Pas kerana turun padang membantu kempen calon berkenaan.
Pertemuan itu turut dilihat membawa simbolik baharu apabila dua sayap wanita yang sebelum ini berada dalam landskap politik berbeza kini bekerjasama di lapangan bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Kehadiran anggota kedua-dua organisasi itu juga memperlihatkan penyelarasan gerak kerja kempen termasuk aktiviti rumah ke rumah dan pendekatan mendekati pengundi wanita serta golongan muda.
Sementara itu, Setiausaha Ameerah Pas Malaysia, Hanisah A Rahman berkata, peluang BN untuk merampas kerusi DUN Labu dilihat semakin cerah berdasarkan keputusan PRN 2023 serta perubahan landskap politik semasa.
Menurutnya, kemenangan penyandang kerusi berkenaan, Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Bersatu pada PRN lalu banyak dipengaruhi sokongan penyokong Pas yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Pada 2023, Mohamad Hanifah memperoleh kemenangan dengan sokongan kuat pengundi Pas. Kini keadaan sudah berubah apabila Pas bersama membantu calon BN.
“Dalam tempoh menjadi wakil rakyat pula, terdapat penduduk yang mempersoalkan keberkesanan khidmat serta kehadiran beliau di kawasan,” katanya.
Hanisah berkata, Mohamad Hanifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,640 undi selepas memperoleh 11,661 undi berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Ismail Ahmad yang mendapat 10,021 undi.
Menurutnya, majoriti tersebut menunjukkan sebarang perubahan sokongan, khususnya daripada pengundi Pas dan penyokong tradisi UMNO, mampu mengubah keputusan di DUN Labu pada PRN kali ini.
“Angka 11,661 undi yang diperoleh sebelum ini bukan boleh dianggap sebagai undi peribadi semata-mata kerana ia turut disumbangkan kekuatan jentera Pas ketika itu.
“Apabila Pas kini membantu BN, kelebihan yang pernah dinikmati penyandang tidak lagi sama,” katanya.
Mengulas pencalonan PH, Hanisah berkata, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak juga berdepan cabaran selepas tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Rasah pada 2025 apabila memperoleh 489 undi berbanding Ahmad Izzuddin Ismail yang meraih 778 undi.
Katanya, walaupun pemilihan parti dan pilihan raya merupakan proses berbeza, keputusan itu tetap memberikan gambaran mengenai tahap penerimaan akar umbi terhadap calon berkenaan.
Dalam pada itu, Hanisah menyifatkan Maira mempunyai kelebihan sebagai anak jati Labu yang lahir, membesar dan menerima pendidikan di kawasan tersebut.
Beliau berkata, pengalaman Maira sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah dan Setiausaha Puteri UMNO Negeri Sembilan turut memberikan kelebihan dari segi pengalaman organisasi serta hubungan dengan masyarakat setempat.
“Maira bukan calon yang hanya muncul ketika musim pilihan raya. Beliau mengenali masyarakat dan memahami isu setempat kerana membesar di Labu.
“Beliau juga aktif turun padang, bertemu penduduk dari rumah ke rumah serta mendengar sendiri masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.
Menurut Hanisah, antara isu yang menjadi fokus Maira ialah peluang ekonomi, kemudahan asas, keadaan jalan kampung, penyediaan perumahan mampu milik untuk golongan muda serta penambahbaikan fasiliti awam mengikut keperluan setiap lokaliti.
Beliau berkata, hubungan rapat Maira dengan masyarakat setempat membolehkan calon itu memahami keperluan penduduk dengan lebih baik berbanding calon luar.
“Pengundi mahukan wakil rakyat yang mudah ditemui, memahami denyut nadi masyarakat dan bersedia bekerja selepas pilihan raya.
“Maira menawarkan gabungan sebagai anak jati Labu, pemimpin muda yang bertenaga serta calon yang mendapat sokongan jentera BN dan Pas,” katanya.
Kerjasama antara Ameerah Pas dan Puteri UMNO itu dilihat mampu memperkukuh gerak kerja kempen BN di Labu, selain menjadi antara ujian awal terhadap keberkesanan kerjasama kedua-dua parti dalam menterjemahkan persefahaman politik kepada sokongan pengundi pada hari pengundian.
Keputusan penuh DUN N.20 Labu pada PRN 2023 adalah seperti berikut:
1. Mohamad Hanifah Abu Baker (PN–BERSATU) - 11,661 undi
2. Ismail Ahmad (PH–PKR) - 10,021 undi
Majoriti: 1,640 undi