KUALA LUMPUR - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan dakwaan tular yang mendakwa empat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, Perak yang melarikan diri berada di sekitar Bandar Baru Bangi serta membahayakan orang ramai.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, keempat-empat penghuni terbabit sebenarnya telah berjaya ditangkap semula di sekitar daerah Sungai Siput, Perak hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.
Menurut beliau, insiden kelarian itu berlaku pada Jumaat lalu melibatkan penghuni PUSPEN Perlop.
"Susulan kejadian itu, tersebar mesej yang mendakwa penghuni terbabit berada di sekitar Bandar Baru Bangi dan dianggap berbahaya kepada orang ramai sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.
"Bagaimanapun, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana kesemua penghuni berkenaan hanya berada di sekitar daerah Sungai Siput sebelum berjaya ditangkap semula," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ruslin berkata, AADK kini menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan, termasuk kemungkinan berlaku kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian dalam kalangan kakitangan yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh mencetuskan keresahan awam.
"Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang lain yang berkuat kuasa," katanya.