NEW YORK - Seorang lelaki dihukum penjara sehingga 25 tahun manakala isterinya dikenakan hukuman percubaan selepas kedua-duanya mengaku bersalah dalam kes kematian anak perempuan mereka berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang sejak 2018.
Ricky Beasley, 34, dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 25 tahun selepas didakwa membunuh anaknya, Zaela Walker, manakala Lakeia Walker, 35, menerima hukuman penjara antara dua hingga lima tahun yang ditangguhkan serta arahan tidak berhubung dengan suaminya.
Pendakwa raya berkata, Zaela dipercayai meninggal dunia selepas dicederakan ketika Beasley hilang kawalan selepas kanak-kanak itu terkencing dalam seluar.
Siasatan mendapati Beasley dipercayai mencampak anaknya ke dinding dalam keadaan marah sehingga menyebabkan kecederaan serius atau trauma yang membawa kepada kematian.
Selepas kejadian itu, pasangan terbabit didakwa cuba menyembunyikan kematian Zaela dengan mendakwa kanak-kanak itu berada dalam jagaan saudara mereka.
Bagaimanapun, ibu Beasley kemudian tampil kepada polis selepas mengesyaki sesuatu tidak kena.
Wanita itu memberitahu pihak berkuasa bahawa kali terakhir dia melihat Zaela bersama anaknya yang ketika itu berang selepas insiden kanak-kanak itu terkencing.
Menurut dokumen mahkamah, ibu Beasley turut mendengar bunyi hentakan kuat sebelum melihat anaknya mendukung Zaela yang sedang menangis.
Polis berkata, Beasley kemudian membuat carian internet berkaitan cara menghentikan sawan dalam kalangan kanak-kanak.
Siasatan terhadap Walker, termasuk ujian poligraf yang gagal, turut menyokong dakwaan bahawa Zaela sebenarnya telah meninggal dunia.
Pendakwa raya berkata, Beasley kemudian meminta Walker membersihkan ruang but keretanya selepas kenderaan itu mengeluarkan bau busuk seperti 'daging reput'.
Dokumen mahkamah menyatakan pasangan itu membersihkan ruang berkenaan menggunakan vakum dan ammonia beraroma lemon bagi menghilangkan bau tersebut.
Beasley sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh tahap kedua, manakala Walker didakwa bersubahat dalam kes pembunuhan.
Kedua-duanya mengaku bersalah pada Mei lalu sebelum hukuman dijatuhkan.
Ketika prosiding hukuman, Timbalan Ketua Pendakwa Raya Clark County, Marc DiGiacomo berkata, tiada keraguan bahawa Zaela mengalami penderitaan berjam-jam tanpa menerima rawatan perubatan.-Agensi