Realiti baharu disiplin sekolah

Iklan
Bagi guru, cabaran terbesar bukan sekadar mengawal tingkah laku murid di dalam kelas, tetapi membina hubungan berasaskan rasa hormat dan kepercayaan. Gambar hiasan

JIKA suatu ketika dahulu isu disiplin di sekolah sering dikaitkan ponteng kelas, pergaduhan atau vandalisme, realiti hari ini memperlihatkan cabaran lebih kompleks.

Murid kini membesar dalam dunia digital yang sentiasa bersambung, menyebabkan pembentukan sahsiah tidak lagi bergantung kepada sekolah dan keluarga semata-mata.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, ia turut dipengaruhi media sosial, kandungan digital yang tidak bersempadan dan rakan-rakan dalam dunia maya yang membentuk cara berfikir atau bertindak. Perubahan landskap pendidikan ini turut mengubah suasana harmoni di sekolah.

Dahulu, guru bukan sahaja dihormati sebagai penyampai ilmu, malah diberi kepercayaan penuh untuk membentuk sahsiah dan memanusiakan murid. Namun, peranan itu semakin mencabar apabila setiap tindakan pendidik mudah dirakam, ditularkan dan diperdebatkan di ruang maya.

Iklan

Keadaan ini menyebabkan ramai guru lebih berhati-hati mengendalikan isu disiplin. Pendekatan disiplin juga mula berubah. Tiada lagi hukuman berbentuk fizikal atau tindakan yang boleh menjatuhkan maruah murid.

Perubahan ini menuntut guru menguasai pendekatan baharu yang lebih berhemah, berasaskan psikologi serta mampu membentuk disiplin tanpa mengabaikan kesejahteraan emosi murid.

Iklan

Hakikatnya, tiada satu pihak pun wajar dijadikan ‘kambing hitam’. Cabaran disiplin hari ini lahir daripada perubahan sosial yang memerlukan penyelesaian secara kolektif. Guru kini berhadapan murid yang lebih berani mempersoalkan arahan, malah ada yang menunjukkan sikap enggan mematuhi peraturan sekolah. Ibu bapa pula bergelut membesarkan anak-anak yang lebih banyak menerima pengaruh media sosial berbanding nasihat keluarga.

Lebih membimbangkan, isu ketidakhadiran ke sekolah semakin kerap dikaitkan masalah keluarga, tekanan emosi dan konflik di rumah, manakala gejala buli siber terus berlaku secara senyap kerana mangsa memilih untuk berdiam diri atau takut bersuara. Situasi itu meletakkan ramai guru dalam dilema.

Bukan mereka tidak mahu bertindak, sebaliknya bimbang setiap keputusan akan dipersoalkan. Akibatnya, ada memilih pendekatan paling selamat walaupun menyedari masalah disiplin semakin rumit dan memerlukan tindakan segera.

Justeru, penyelesaiannya bukanlah dengan mengembalikan hukuman fizikal, tetapi membina semula ekosistem pendidikan berasaskan kerjasama. Pembentukan disiplin murid tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan tradisional semata-mata, sebaliknya memerlukan strategi lebih menyeluruh.

Bagi guru, cabaran terbesar bukan sekadar mengawal tingkah laku murid di dalam kelas, tetapi membina hubungan berasaskan rasa hormat dan kepercayaan. Latihan berkaitan pengurusan tingkah laku, komunikasi berkesan, intervensi awal serta pemulihan sahsiah perlu diperkasakan supaya guru lebih yakin menangani isu disiplin.

Sistem sokongan di sekolah melibatkan kaunselor, guru disiplin dan pentadbir perlu bergerak sebagai satu pasukan agar beban tidak dipikul oleh guru secara bersendirian. Peranan ibu bapa juga tidak boleh dipinggirkan kerana disiplin sebenarnya bermula di rumah melalui didikan harian, komunikasi terbuka dan teladan.

Pemantauan penggunaan gajet, kandungan media sosial dan perubahan emosi anak perlu diberi perhatian kerana banyak masalah disiplin bermula di luar pagar sekolah.

Hubungan saling mempercayai antara sekolah dan keluarga mampu mempercepatkan proses pemulihan murid. Akhirnya, disiplin yang ingin dibina bukan sekadar memastikan murid mematuhi peraturan sekolah, tetapi melahirkan generasi berintegriti, berempati, matang berfikir serta bertanggungjawab menghadapi cabaran dunia digital.

*Qurratul'aina Quddus ialah wartawan Sinar Bestari