Kapal besar belum tentu ceritanya gah

Iklan
Pada Jun lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, TLDM dijangka menerima tiga Kapal Misi Pesisir Kelompok Kedua (LMSB2) penghujung tahun depan. Foto hiasan

KECOH sejak seminggu dua ini apabila warga maya dari negara jiran kita, Indonesia meraikan ketibaan kapal induk pertama mereka di Dermaga 107 Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta Utara, selepas menempuh 25 hari pelayaran dari pelabuhan Taranto, Itali.

Asalnya, kapal pengangkut pesawat ini adalah milik Armada Tentera Laut Itali, ITS Giuseppe Garibaldi dibina syarikat perkapalan, Fincantieri sebelum ditauliahkan pada 1985 dan berkhidmat selama lebih 40 tahun.

Iklan
Iklan

Kapal sepanjang lebih 180 meter panjang dan 33 meter lebar ini diserahkan kepada Tentera Nasional Indonesia- Angkatan Laut (TNI-AL), menjadikannya sebagai kapal induk pertama milik republik itu.

Menurut Ketua Biro Perhubungan Awam dan Maklumat Pertahanan Sekretariat Jeneral Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Rico Ricardo Sirait, Giuseppe Garibaldi adalah sumbangan kerajaan Itali manakala kerajaan Indonesia hanya menyediakan peruntukkan bagi naik taraf semula atau penyesuaian untuk memenuhi keperluan operasi TNI-AL.

Iklan

Pada 18 September lalu, kapal raksasa seberat 13,800 tan ini selamat berlabuh dan secara rasmi Indonesia menyertai Thailand yang terlebih dahulu memiliki kapal induk, HTMS Chakri Naruebet.

Serentak itu juga, warga maya dari negara jiran mula membandingkan ketumbukan antara TNI-AL dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Iklan

Tidak dinafikan, sebagai negara kepulauan terbesar di dunia, aspek keselamatan dan kedaulatan maritim menjadi komponen penting dalam pertahanan Indonesia.

Kehadiran kapal induk itu secara tidak langsung meningkatkan keupayaan operasi maritim termasuk pengoperasian helikopter selain menyokong misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana.

Kehadiran ahli keluarga baharu dalam TNI-AL secara tidak langsung menjentik keupayaan TLDM dalam menguruskan kedaulatan maritim negara.

Baru-baru ini, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain berkata, lebih 60 peratus aset TLDM kini berusia lebih 40 tahun, sekali gus menjadi cabaran terbesar menguruskan 'armada usang'.

Jelas beliau, keadaan itu disebabkan kapal lama masih perlu diatur gerak bagi memenuhi operasi memerlukan komitmen 24 jam sepanjang tahun.

Zulhelmy berkata, TLDM sentiasa mengambil langkah memastikan kapal masih selamat digunakan tetapi keutuhan badan kapal mungkin boleh dipersoalkan apabila berdepan gelombang besar dan sebagainya.

Aset pertahanan agak berusia menyebabkan kos selenggara semakin meningkat kerana kerosakan lebih kerap berlaku tanpa dirancang walaupun tidak kritikal.

Antara langkah interim diambil TLDM ialah melaksanakan program 'obsolescence' atau pengurusan keusangan aset bagi memanjangkan hayat kapal sedia ada sementara menunggu perolehan aset baharu.

Pelan transformasi TLDM 15-to-5 mempunyai perancangan kemasukan aset baharu dan pelupusan kapal lama secara berperingkat.

Jun lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, TLDM dijangka menerima tiga Kapal Misi Pesisir Kelompok Kedua (LMSB2) penghujung tahun depan.

Beliau berkata, proses pembinaan kapal terbabit berjalan lancar mengikut perancangan ditetapkan seperti kontrak dimeterai pada 2024 bersama syarikat perkapalan Turkiye, STM.

Perkara itu diumumkan selepas kapal kedua LMS dilancarkan pada 6 Jun lalu dinamakan Kapal Diraja (KD) Raja Laut. LMS yang pertama sebelum ini dinamakan KD Tunku Laksamana Abdul Jalil.

Walaupun Malaysia ketika ini hanya mampu mengoperasikan kapal berasaskan korvet Kelas Tunku, namun perlu diingat semua kapal ditauliahkan adalah baharu dan dilengkapi pelbagai ciri peperangan moden sedangkan sebuah kapal induk memerlukan satu armada khas untuk mengawasi setiap pelayarannya.

HTMS Chakri Naruebet yang sepatutnya menjadi simbol kebanggaan Thailand kini lebih banyak menghabiskan masanya sebagai 'lokasi tarikan pelancong' di Pangkalan Laut Sattahip, Chonburi berbanding belayar di laut.

Mungkin bakal ada lokasi tarikan pelancong kedua, mungkin...

* Mohd Razlan Salleh adalah Sub Editor Sinar Harian