SHAH ALAM – Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi antara tahun 2014 hingga 2017 didapati telah melangkaui kemampuan kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) sehingga menghakis rizab institusi itu dan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kedudukan kewangannya.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyatakan, pembayaran hibah yang melebihi kemampuan kewangan LTH sepanjang tempoh berkenaan menyebabkan rizab institusi itu semakin menyusut, sekali gus menjadi antara punca utama krisis kewangan yang melanda institusi tersebut.
Menurut laporan itu, kadar hibah yang tinggi turut menarik lebih ramai pendeposit yang mengejar pulangan lumayan, sekali gus menyebabkan LTH terpesong daripada matlamat asal penubuhannya sebagai institusi simpanan untuk bakal jemaah haji.
Laporan berkenaan menjelaskan keadaan itu turut mendedahkan LTH kepada risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran atau bank run sekiranya kadar hibah yang diumumkan lebih rendah daripada jangkaan pendeposit.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Dokumen setebal 211 halaman dalam format dokumen mudah alih (PDF) itu dimuat naik di laman web JAKIM malam ini dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.
Ia turut mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pada itu, RCI turut mendapati tekanan untuk terus mengisytiharkan hibah yang tinggi menyebabkan LTH mengambil risiko pelaburan yang lebih besar berbanding sepatutnya.
Jelas laporan itu, pelaburan LTH ketika berkenaan lebih tertumpu kepada ekuiti yang terdedah kepada turun naik pasaran bagi menjana pulangan lebih tinggi.
Dalam masa sama, Suruhanjaya turut mendapati pengurusan LTH mengamalkan amalan perakaunan kreatif bagi membolehkan hibah yang tinggi terus diisytiharkan.
Laporan itu menyatakan pengurusan LTH menggunakan nilai aset yang boleh direalisasikan (Realisable Asset Value atau RAV) berbanding nilai aset dalam penyata kewangan tahunan yang diaudit bagi menentukan pematuhan terhadap Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.
RCI turut mengesahkan beberapa penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) adalah benar, termasuk kewujudan jurang defisit antara aset dan liabiliti LTH sejak tahun 2014.
Menurut Suruhanjaya, sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) diguna pakai sepenuhnya, LTH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan ketika itu.