IPOH - Flat Sungai Pari setinggi 15 tingkat di Buntong yang terbiar sekian lama akan dirobohkan sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan semula kawasan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Zaiteena Wan Nasir berkata, lantikan pemaju telah dibuat dan pelaksanaan projek termasuk kerja merobohkan bangunan sedia ada akan ditentukan oleh pihak berkenaan.
“Pemaju akan melantik sama ada mereka mahu merobohkan sendiri atau menyerahkan kepada pihak lain.
“Perancangan pembangunan itu melibatkan perobohan sebahagian besar bangunan termasuk blok 15 tingkat,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Perasmian Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini pada Rabu.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sebelum ini, Pertubuhan Peniaga-Peniaga India Negeri Perak menawarkan untuk melaksanakan kerja merobohkan bangunan tersebut secara percuma sebagai langkah segera mengatasi risiko keselamatan.
Presidennya, K Hari Krishnan berkata, tawaran itu merangkumi kerja meroboh, pembersihan sisa runtuhan serta meratakan kawasan bagi memastikan ia selamat kepada komuniti setempat.
Mengulas lanjut, Zaiteena berkata, proses perobohan tidak dapat dilaksanakan serta-merta kerana perlu melalui beberapa prosedur termasuk mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta proses rezoning.
"Proses ini akan mengambil sedikit masa, namun langkah keselamatan seperti pemasangan penghadang (hoarding) akan dilaksanakan terlebih dahulu,” katanya.
Bagaimanapun beliau menambah, dua bangunan di kawasan tersebut telah dicadangkan untuk dikekalkan sebagai elemen warisan.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani menegaskan sebarang tindakan pembangunan perlu dilaksanakan mengikut peraturan serta mengambil kira kepentingan semua pihak.
"Sebarang tindakan mesti dilakukan secara sah di sisi undang-undang," katanya.