RISDA perluas belian getah, kini nilai cecah RM29.08 juta

Iklan
Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Zainal Azni (hadapan, kiri) dan Pengurus Besar KESEDAR, W Muhd Rahimi Wan Salleh (kanan).

Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Zainal Azni (hadapan, kiri) dan Pengurus Besar KESEDAR, W Muhd Rahimi Wan Salleh (kanan).

SEREMBAN - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi desa apabila inisiatif sebagai pembeli getah utama (anchor buyer) merekodkan nilai pembelian hasil getah pekebun kecil sebanyak RM29.08 juta setakat pertengahan Julai tahun ini.

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RISDA membeli lebih 7,000 tan metrik getah daripada pekebun kecil di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap peranannya sebagai saluran pemasaran yang cekap, telus serta menawarkan harga lebih stabil dan kompetitif.

Menurutnya, inisiatif anchor buyer menjadi agenda strategik RISDA dalam mengukuhkan rantaian pemasaran getah dengan memastikan hasil pekebun kecil dipasarkan secara tersusun, mengurang kebergantungan pihak tengah serta mewujudkan persaingan pasaran yang sihat demi menambahbaik pendapatan pekebun kecil.

Iklan

“Pendekatan ini memperkukuh peranan agensi sebagai pemudah cara pemasaran menerusi rangkaian pusat kutipan, kerjasama pihak berkepentingan, di samping memperluas operasi Perkhidmatan Pemasaran Getah Bergerak (PGB) menerusi RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB). RISDA juga disaran untuk menyediakan infrastruktur seperti kilang pemprosesan hasil getah bagi menyokong rantaian nilai industri getah sehingga ke produk hiliran.

“Inisiatif ini turut menyokong usaha kerajaan memperkukuh daya saing industri komoditi getah negara dan penetapan capaian sasaran pengeluaran satu juta tan metrik getah menjelang 2030 serta memberi manfaat kepada lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Tengah 2026 yang diadakan di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Tokoh Pekebun Kecil RISDA sempena Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Tengah 2026, di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Timbalan KSU KKDW, Datuk Dr Roslan Mahmood dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, RISDA juga menyasarkan harga minimum getah sebanyak RM5 sekilogram dapat direalisasikan menjelang penghujung tahun 2027 sebagai usaha memperkasakan kebajikan pekebun kecil di seluruh negara.

“Sasaran itu merupakan antara keutamaan kepimpinan baharu RISDA bagi memastikan pekebun kecil menikmati harga yang lebih bermaruah dan mampu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Zon Tengah menjadi platform menghimpunkan pekebun kecil dari Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

Menurutnya, majlis bertemakan Mensejahtera Komuniti, Memperkasa Komoditi turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara RISDA dengan FELCRA, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bagi memperkukuh kolaborasi dalam pemasaran getah pekebun kecil.

“Saya percaya apabila setiap agensi bergerak secara berpasukan, pembangunan desa akan menjadi lebih efisien dan mampu membina ekosistem komoditi yang mampan serta berdaya saing demi manfaat komuniti pekebun kecil,” katanya.

Pada majlis sama, penerima Anugerah Tokoh Pekebun Kecil RISDA Zon Tengah, Buang Maruji, 67, berkata, kejayaannya menguruskan 32 hektar kebun getahnya tidak dicapai tanpa sokongan penuh pihak RISDA.

“Saya berharap sokongan KKDW dan RISDA kepada pekebun kecil akan digandakan supaya lebih ramai generasi muda melihat sektor getah sebagai industri yang mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Kerayong, Kapar, Selangor.