PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Md Jidin menggesa Speaker Dewan Rakyat memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen membahaskan dapatan dan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) pada sidang khas yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, ruang perbahasan tidak seharusnya dihadkan kepada beberapa Ahli Parlimen sahaja memandangkan laporan itu melibatkan kepentingan awam dan sebuah institusi strategik negara.
“Speaker Dewan Rakyat perlu memberikan peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk membahaskan dapatan dan syor RCI ini.
“Ruang perbahasan tidak seharusnya terhad kepada beberapa orang Ahli Parlimen sahaja,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dr Radzi berkata, Speaker juga perlu memastikan menteri berkaitan memberikan penjelasan terhadap semua isu yang dibangkitkan selain membuka ruang soal jawab seluas-luasnya.
Menurutnya, kerajaan juga perlu memberikan komitmen untuk melaksanakan cadangan bersesuaian yang dikemukakan Ahli-ahli Parlimen bagi menambah baik kedudukan TH.
Terdahulu, Kabinet menyatakan persetujuan untuk mengklasifikasikan semula dan mendedahkan laporan RCI berkenaan,
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi Tabung Haji (TH).
Katanya, laporan RCI tersebut menggariskan sebanyak 25 syor tindakan penambahbaikan dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripada keseluruhan syor berkenaan.
Dalam pada itu, Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu menggesa kerajaan memperincikan status pelaksanaan setiap syor RCI, termasuk menyediakan pelan tindakan bagi cadangan yang masih belum dilaksanakan.
“Kerajaan juga perlu menjelaskan status tindakan terhadap pihak yang didapati melakukan salah laku atau pelanggaran undang-undang,” jelasnya.
Bekas Menteri Pendidikan itu turut menggesa kerajaan mendedahkan keseluruhan laporan asal RCI supaya kandungannya dapat diteliti secara terbuka.
Katanya, laporan RCI TH melibatkan kepentingan awam kerana menyentuh sebuah institusi strategik negara yang mempunyai kedudukan istimewa dalam kehidupan umat Islam.
Menurut beliau, TH dibangunkan berteraskan aspirasi umat Islam untuk menyimpan wang secara patuh syariah bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah haji dengan teratur dan tertib.
“Lebih sembilan juta pendeposit telah meletakkan kepercayaan kepada institusi ini.
“Bagi sebahagian besar pendeposit, wang yang diamanahkan bukan sekadar simpanan biasa, tetapi hasil titik peluh yang dikumpulkan bertahun-tahun lamanya dengan niat untuk menyempurnakan tuntutan agama.
“Perkara berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan atau keputusan pelaburan TH bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi dan pentadbiran, malah menyentuh soal amanah, integriti serta keyakinan umat Islam terhadap institusi tersebut.
“Sama-sama kita pastikan institusi yang amat dekat di hati umat Islam ini diurus dengan penuh amanah, telus dan berintegriti,” katanya.