PUTRAJAYA – Persepsi serta prasangka negatif terhadap siasatan tidak boleh dijadikan alasan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berasa gentar selagi setiap siasatan dilaksanakan mengikut undang-undang, prosedur dan landasan yang betul.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keyakinan terhadap integriti proses siasatan dan profesionalisme pegawai perlu terus dipertahankan meskipun agensi itu sering berdepan pelbagai persepsi.
Beliau berkata, SPRM akan terus mempertahankan profesionalisme, ketelusan dan integritinya dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
"Dalam sesuatu siasatan, pihak yang terlibat mungkin tidak berpuas hati dan membentuk persepsi negatif, itu hak mereka, tetapi jika kita menjalankan tugas mengikut undang-undang, prosedur dan landasan yang betul, kita tidak perlu takut atau gentar.
"Kita perlu membuktikannya melalui tindakan dan hasil kerja, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak, apa yang penting adalah melaksanakan amanah dengan ikhlas, jujur dan penuh komitmen," katanya dalam podcast SPRM Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi pada Rabu.
Jelasnya, persepsi akan sentiasa wujud, tetapi keyakinan terhadap integriti proses dan profesionalisme pegawai perlu dipertahankan.
Mengulas mengenai individu yang mengulas atau mempertikaikan siasatan SPRM sebelum proses siasatan selesai, Abd Halim berkata, setiap individu berhak menyuarakan pandangan, namun hak tersebut mempunyai batas tertentu.
Beliau berkata, masyarakat perlu berhati-hati ketika memberikan komen terhadap kes yang masih dalam siasatan supaya ia tidak dilihat sebagai mencampuri, mempengaruhi atau memprejudiskan proses siasatan.
"Hak menyuarakan pendapat ialah hak setiap individu, tetapi setiap hak mempunyai batas.
"Apabila sesuatu kes masih disiasat, masyarakat perlu berhati-hati supaya komen tidak dilihat sebagai mencampuri, mempengaruhi atau memprejudiskan siasatan," katanya.
Tambahnya, Seksyen 48 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan yang menghalang atau mencampuri penyiasatan.
"Oleh itu, berikan kepercayaan kepada agensi penguat kuasa untuk menjalankan tugas," katanya.