KUALA LUMPUR - Seramai 113 pelarian termasuk 110 etnik Rohingya sudah dipindahkan ke destinasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang diuruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, seramai 66 orang ditempatkan di Kuala Lumpur, 18 orang di Pulau Pinang dan Selangor seramai 29 orang.
“Pihak NGO dan UNHCR telah menguruskan semua pelarian terbabit.
“Lokasi pilihan pelarian terbabit adalah Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang berdasarkan kenalan dan saudara-mara mereka di destinasi terbabit,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Media sebelum itu melaporkan seramai 113 pelarian membabitkan 110 etnik Rohingya termasuk 53 kanak-kanak, seorang lelaki warga Iraq, wanita Somalia (1 orang) dan wanita Indonesia (1 orang) merupakan isteri etnik terbabit telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, tindakan dokumentasi ke atas pelarian telah dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) IPK Kuala Lumpur bersama wakil UNHCR.
Hasil dari proses dokumentasi yang dijalankan terhadap etnik rohingya di perkarangan IPK Kuala lumpur mendapati kesemua etnik terbabit mempunyai dokumen UNHCR yang sah.
ARTIKEL BERKAITAN: Diusir dari Kampung Kuala Muda, etnik Rohingya 'serbu' pejabat UNHCR
Ratusan pelarian Rohingya berhimpun di hadapan UNHCR dipindahkan ke IPK KL - Polis
Rohingya dihalau, adakah empati rakyat Malaysia sudah habis?
Persaingan ekonomi, tapak penempatan penuh punca 121 warga Rohingya berpindah - Polis
Pelarian Rohingya miliki dokumen UNHCR sah - Ketua Polis KL
Sinar Harian melaporkan kesemua mereka telah berkumpul di hadapan Pejabat UNHCR Kuala Lumpur sejak awal pagi Isnin selepas diusir dari Kampung Kuala Muda, Penaga di Pulau Pinang.
Kesemua pelarian itu datang menaiki tiga buah bas dan bertolak dari kampung terbabit kira-kira jam 10 malam, Ahad.