Suami bunuh isteri, enam anak sebelum bakar rumah

Iklan
Gambar hiasan. Foto Agensi

MICHIGAN - Seorang lelaki dipercayai menembak mati isterinya dan enam anak mereka dalam kejadian di Grand Haven Township, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin.

Keputusan bedah siasat mengesahkan kesemua lapan mangsa meninggal dunia akibat luka tembakan di rumah yang terletak di pesisiran timur Tasik Michigan itu.

Iklan
Iklan

Kapten Jacob Sparks dari Pejabat Syerif Ottawa County berkata, hasil siasatan mendapati suspek, Kristopher Karolkiewicz, 47, menembak mati isterinya, Amanda Karolkiewicz, 39, serta enam anak mereka sebelum menembak dirinya.

Enam kanak-kanak yang terbunuh berusia antara lima hingga 15 tahun, membabitkan empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Iklan

Pihak bomba pada mulanya menerima laporan mengenai bau dan kepulan asap sebelum dikerahkan ke kediaman berkenaan.

Beberapa jam kemudian, mereka kembali ke lokasi selepas menerima aduan mengenai asap putih yang keluar dari rumah tersebut.

Iklan

Sebaik api berjaya dikawal, anggota bomba menemui kesemua mangsa maut di beberapa bilik tidur berasingan di dalam rumah berkenaan.

Haiwan peliharaan keluarga itu turut ditemukan mati dalam kebakaran tersebut.

Siasatan awal menunjukkan kebakaran itu sengaja dicetuskan di beberapa bahagian rumah selepas kejadian tembakan berlaku.

Bagaimanapun, punca dan titik permulaan kebakaran masih disiasat.

Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan. - Agensi/ Awani