TUMPAT – Kegiatan sebuah premis yang dipercayai dijadikan lokasi transit penyimpanan minyak masak peket sebelum dijual kepada penduduk sekitar terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Wakaf Bharu di sini pada Selasa.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas didapati gagal mematuhi syarat lesen penyimpanan bekalan minyak masak, manakala 1.5 tan minyak masak pelbagai jenama bernilai RM1,642 dirampas.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan hasil risikan menerusi Op Taring Wawasan dengan kerjasama KPDN Kota Bharu.
"Hasil semakan mendapati lesen runcit yang dimiliki telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan, menyebabkan lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
"Kesemua minyak masak dirampas dan kes diserahkan kepada KPDN Kota Bharu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Ujar beliau, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.
Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati bekalan minyak masak itu diperoleh dari sebuah kilang di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa sebelum disimpan sementara di premis berkenaan.
"Premis itu dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum minyak masak dijual kepada penduduk kampung di sekitar kawasan tersebut.
"Risikan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penyelewengan serta mengesan rangkaian yang terlibat dalam penyalahgunaan bekalan minyak masak bersubsidi," katanya.